Rayuan batal keputusan kerusi Putrajaya, Gua Musang ditetap 19 Jun
Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh pada 19 Jun ini bagi mendengar rayuan Barisan Nasional (BN) mengenai dua petisyen pilihan raya yang difail untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Putrajaya dan Gua Musang.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan tarikh berkenaan, lapor Bernama.
Naib Ketua Bahagian Umno Putrajaya Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim menfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Putrajaya manakala Mohd Azmi Mahmood mewakili calon BN Tengku Razaleigh Hamzah menfailkan petisyen bagi kerusi Gua Musang.
Mohd Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Putrajaya dengan menewaskan penyandang empat penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN dengan majoriti 2,310 dalam pertarungan enam penjuru.
Sementara itu, calon Pas Datuk Mohd Azizi Abu Naim membuat kejutan apabila berjaya menewaskan Tengku Razaleigh yang sebelum ini menguasai kerusi Gua Musang sejak tahun 1986 dengan majoriti tipis 163 undi.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing telah membatalkan petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Mohd Radzi dan Mohd Azizi.
Pada 10 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Mohd Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan bahawa Ahmad Faisal gagal membuktikan bahawa amalan rasuah dilakukan sama ada Radzi atau ejennya.
Terdahulu pada 26 Februari, Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen Mohd Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ahmad Faisal dan Mohd Azmi kemudiannya memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Dalam petisyen itu, Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Mohd Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Putrajaya, dengan mendakwa wakil PN itu memberi RM150 kepada pengundi sebagai dorongan untuk mereka mengundi Mohd Radzi.
Sementara itu, Mohd Azmi dalam petisyennya memohon untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan parlimen Gua Musang tidak sah, dan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu.
BACA JUGA: Petisyen Parlimen Marang: Hadi Awang hadir ke Mahkamah buat pertama kali
Â