KPDN perkenal sistem perlindungan bagi bekalan, harga berpatutan
Satu Sistem Perlindungan Sosial Baharu diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjamin bekalan barangan pengguna terjamin dalam harga berpatutan
Menurut menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, hal itu antara sembilan perkara yang dilaksana KPDN dalam tempoh sebulan selepas beliau memegang jawatan.
Katanya, selain sistem perlindungan itu kementeriannya juga telah mengambil langkah lain bagi memastikan kepentingan pengguna terjamin, termasuk dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri minyak sawit dan simen tempatan.
KPDN juga, katanya turut turun padang ke beberapa premis perniagaan bagi melihat sendiri isu kekurangan barangan bersubsidi seperti telur ayam dan minyak masak tulen selain melancarkan Ops Terjah selama satu bulan bagi tujuan mengawal kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan asas.
“Kita turut mengatur perancangan program baharu KPDN iaitu Bakul Rahmah melalui perbincangan bersama pemain industri seperti 99 Speedmart, Mydin, NSK dan Giant.
“Program baru ‘Rezeki Suri’ juga telah dicadangkan bersama libat urus dengan Dewan Perniagaan Islam Malaysia Kementerian, kita sedang meneliti pelaksanaannya dalam kadar segera,” katanya.
KPDN nyata beliau tidak bersendirian dalam mendepani agenda besar menangani isu kos sara hidup. Kementerian itu turut menjalankan sesi kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Ekonomi.