‘Anak dah masuk, ayah tunggu apa lagi?’, kata Azmin kepada Noh
Bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar kemungkinan akan menyertai Perikatan Nasional (PN) memandangkan kerap berada di pentas gabungan pembangkang itu.
“Tan Sri (Noh) tunggu apa lagi (kerana) dua atau tiga hari lepas di (Program Dialog PN) Sungai Besar dan malam ini di Tanjong Karang.
“Anak (Nurul Syazwani) dah masuk, ayah tunggu apa lagi?” Katanya semasa berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang malam tadi.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor berpendapat Noh mungkin menanti waktu sesuai untuk mengumumkan kemasukan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu dalam PN.
“Boleh saya umum malam ini Tan Sri? Tak apa dia (Noh) ada strategi tersendiri,” katanya lagi.
Sebelum ini, Noh dilapor mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN sekali gus membantu kemenangan blok itu pada PRN Selangor.
Katanya, beliau mahu memastikan rakyat menyokong PN sama seperti usaha yang pernah dilakukannya lebih 30 tahun lalu dalam membangunkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu.
Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak Pilihan Raya Umum kesembilan (PRU9) pada 1995.
Pada PRU14, Noh mengalahkan calon Bersatu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Nor Az Azlan Ahmad mewakili Pas dengan majoriti tipis 1,970.
Bagaimanapun, PRU15 lalu BN menampilkan muka baharu iaitu Datuk Habibah Mohd Yusof yang akhirnya tewas kepada calon PN, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi .
BACA JUGA Noh Omar tidak relevan, sukar gugat PH di Selangor
Â