Hadi, jangan guna dalil agama untuk kepentingan Pas sahaja
ali hasPresiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan supaya tidak mempergunakan dalil agama dengan konteks yang salah demi kepentingan Pas.
Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga menyatakan Hadi kini cuba mendakwa pula Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin Melayu (selain dirinya) berbohong dan tuduhan sedemikian amat berat, apatah lagi ianya berdalilkan hadis yang tidak kena pada konteks dan tempatnya.
“Pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan terdorong atas pembohongan seperti dakwaan Hadi, melainkan ia demi kepentingan yang lebih besar dari kepentingan sesetengah kelompok.
“Kerajaan Perpaduan adalah cerminan hasrat rakyat yang mendambakan kestabilan politik setelah tidak ada mana-mana pihak memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan.
“Malah mendatangkan hadis tentang sifat keji berbohong yang dilarang oleh syariat bagi mewajarkan tuduhan kepada Kerajaan Perpaduan jelas sekali suatu tindakan yang melambangkan kelemahan berfikir dan singkat pandangannya. Apakah Hadi cuba menafikan maslahah besar yang jauh lebih penting dari agenda sempit beliau?,” soal Mujahid melalui catatan di Facebook beliau.
Tegas Mujahid, maslahah besar yang perlu diselesaikan segera pasca pilihan raya umum (PRU) adalah tiada blok yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan, sedangkan membentuk kerajaan adalah maslahah utama.
Tambah beliau, Yang Dipertuan Agong atas kuasa perundangan yang ada telah menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi meneruskan urusan rakyat dan negara serta kepimpinan negara selepas PRU diperlukan bagi meneruskan maslahah utama pemulihan ekonomi yang semakin kritikal.
“Semua pemimpin parti dari pelbagai latar belakang dan ideologi bersetuju melihat maslahah utama ini sebagai faktor penting untuk mereka meninggalkan segala kepentingan parti masing-masing dan mendahulukan negara serta rakyat termasuk isu-isu sensitif yang menjadi bahan serangan politik pra PRU ke-15.
“Meletakkan isu-isu sensitif di belakang sesama parti-parti yang bermusuhan demi mencapai maslahah utama negara harus dilihat sebagai satu tindakan terpuji dan tepat dengan kehendak disiplin maslahah dan kenapa pula dituduh melakukan pembohongan?.
“Adalah malang apabila terlalu kerdil cara berfikir Presiden Pas dalam tulisannya sehingga ia gagal melihat dunia yang lebih besar dari dirinya dan kelompok beliau serta tergamak mendatangkan sabda junjungan mulia Nabi Muhammad s. a. w bagi mewajarkan tuduhan tidak berasasnya, ” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Annuar Musa bukannya hero malam tadi, hanya manipulasikan fakta
Â