Kadar pengangguran belia berjaya turun kepada 10.1 peratus

Kadar pengangguran belia di Malaysia menurun satu peratus kepada 10.1 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 11.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.

Data tersebut diperoleh berdasarkan laporan dapatan tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata, kadar pengangguran keseluruhan juga menurun kepada 3.5 peratus bagi suku pertama tahun ini, berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2022.

“Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dilihat sebagai fenomena global yang dihadapi oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Ia mengambil kira bahawa kumpulan umur ini berada di dalam proses transisi dari alam pengajian ke pasaran pekerjaan. Seterusnya, melalui proses mendapatkan pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan secara berterusan akan merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran secara keseluruhannya termasuk dalam kalangan belia di bandar dan luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang bertanya soal pengangguran di Malaysia.

Dalam masa sama, Ketua Cabang PKR Kota Belud itu berkata, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mempergiat beberapa program bagi menggalakkan penyertaan tenaga kerja.

Program tersebut termasuk dalam kalangan belia melalui penyediaan platform MyFutureJobs dengan terdapat sejuta kekosongan pekerjaan.

BACA JUGA Pengangguran di Selangor terus menurun 

Â