KPM: Aktiviti luar dibenarkan kembali
Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar yang sebelum ini ditangguhkan berikutan cuaca panas.
Kementerian tersebut menerusi hantaran Facebook berkata, kebenaran tersebut dilaksanakan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas.
Pada 4 Mei lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengarahkan semua institusi pengajian di bawahnya supaya menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.
Jelasnya, larangan itu termasuk merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.
Bagaimanapun, sekolah yang melaksanakan aktiviti di luar bilik darjah perlu mematuhi beberapa perkara yang telah ditetapkan antaranya memastikan penyertaan murid adalah sukarela dan mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga, katanya.
Selain itu, pemantauan perlu sepanjang aktiviti dilakukan termasuklah membatalkan dengan segera aktiviti sekiranya berlaku peningkatan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
KPM turut menyenaraikan langkah yang diperlu diambil meskipun pelaksanaan aktiviti luar telah dibenarkan.
“Menerangkan kepada murid langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan, menggalakkan murid memakai pakaian yang bersesuaian dan berwarna cerah, menyediakan kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (kanopi, payung), ais atau tuala basah.
“Memastikan murid minum air yang cukup sebelum semasa dan selepas aktiviti dengan menyediakan air minuman, kebenaran waktu rehat tambahan semasa aktiviti, membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan tamat aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran,” jelasnya.
Menurut kementerian, pihak sekolah perlu merujuk murid yang mengalami sebarang kesan fenomena kepada klinik dan hospital berdekatan dengan segera.
Kes-kes berkaitan keselamatan dan kesihatan murid kepada ibu bapa dan penjaga perlu dilaporkan dengan segera,” tambahnya.