Zahid: Identiti Melayu-Islam Umno kekal
Identiti Melayu-Islam yang diperjuang Umno tidak hilang meskipun bekerjasama dengan DAP, kata presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malahan Pas sendiri pernah bekerjasama dengan parti tersebut.
“PAS kahwin dengan DAP sudah lama, kenapa PAS boleh (kerjasama) bila kita (Umno) buat kononnya kita nak gadai Islam dan Melayu, mereka harus tanya diri mereka sebab PAS dah lakukan ‘perkahwinan mutaah’ dengan berbagai parti termasuk DAP,” katanya di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC).
Beliau menambah bahawa kerjasama sekarang adalah di antara BN dan PH dan agenda Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu tidak diusik oleh komponen parti PH.
“Dalam situasi begini, konotasi kita kerjasama dengan DAP, hakikatnya BN dan PH. BN ada MCA dan MIC, PH ada DAP di situ. Jadi, harus lihat kebersamaan antara BN dan PH malah agenda tentang Islam, Melayu, Raja-Raja tidak pernah diusik oleh PH.
“Kena hormati pendirian Umno kerana ada dalam perlembagaan Umno dan ia wajib dipertahankan dan mereka (PH) bersetuju. Saya tidak nampak ada masalah kononnya kita terpaksa derhaka gadai maruah dan sebagainya,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan anggota Umno dan BN bahawa kesatuan BN tidak kukuh seperti dahulu dan keperluan untuk memenangi pilihan raya negeri menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Realiti baharu politik tanah air ialah kita berada dalam kerajaan perpaduan dan kita sebahagian dari kerajaan. Kita tidak dominan dan untuk PRN enam negeri ini, kita perlu membuktikan mana-mana kerusi yang dimuktamadkan diberi kepada Barisan Nasional hendaklah kita menang.
“Tidak ada makna kalau kita berasa kuat tetapi keberhasilannya kurang,” katanya.
“Kita harus tahu bahawa undi kita pada pilihan raya lalu cuma berada sekitar 23%, kerusi yang kita perolehi cuma 11%, dua kali kita kecundang dalam pilihan raya dan kita harus bangkit,” tambah beliau.
Hari ini adalah hari pembukaan perhimpunan agung Umno.