958 bekas pekerja kontrak LHDN rayu campur tangan PM Anwar

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah berkaitan 958 pekerja kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang diberhentikan kerja sejak dua hari lalu.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, rayuan dibuat kepada Menteri Kewangan untuk mengembalikan kerja buat pekerja yang sudah berkhidmat antara dua hingga 16 tahun.

Surat rayuan tersebut telah diserah kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin hari ini.

“MTUC merayu kepada Datuk Seri (Anwar Ibrahim) agar pekerja kontrak ini dipulihkan kerja semula agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan baik.

“Mereka telah berkhidmat di LHDN melebihi dua tahun sehingga 16 tahun. Kalau mereka hanya berkhidmat setahun dua, maka saya faham kerana itu adalah konsep kontrak.

“Namun, kalau sudah berbelas tahun bekerja secara kontrak, maka mereka sudah ada komitmen kepada kerja tersebut. Ini mengecewakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Bangunan Kementerian Kewangan.

Turut hadir 112 bekas pekerja kontrak LHDN dari seluruh negara.

Sebelum ini, media melaporkan LHDN sudah mengeluarkan notis lebih awal untuk memaklumkan mengenai penamatan jawatan tersebut.

Dalam masa sama, LHDN memaklumkan keputusan itu dibuat susulan transformasi pendigitalan bagi membolehkan kebanyakan tugas dan fungsi diautomasikan dalam meningkatkan kos kecekapan mentadbir sistem percukaian negara.

Pada masa sama, Kamarul mempertikai pelantikan 700 jawatan pegawai secara tetap selepas semua pekerja kontrak diberhentikan.

“Pihak LHDN boleh menyerap pekerja ini secara tetap dan mungkin pekerja yang pertengahan itu boleh dinaikkan sebagai pegawai.

“Kita berharap surat rayuan ini dapat membuka mata Kerajaan Perpaduan bagaimana pekerja kontrak dilayan,” tambahnya lagi.

Mereka yang terlibat adalah Pembantu Hasil Gred 21 yang terjejas kerana gaji diterima adalah berdasarkan kedatangan.

Oleh sebab itu, tiada istilah cuti sakit atau cuti tahunan diberikan kepada mereka.

Baca Pihak lawan kuasai TikTok untuk sebar kebencian, tuduhan tanpa bukti

Â