Sebulan sebagai Menteri, berusaha atasi masalah asas ekonomi – Rafizi

Sebulan sebagai Menteri Ekonomi tidak banyak pengumuman yang dibuat Mohd Rafizi Ramli sehingga rakyat tertanya tanya adakah beliau lebih berkesan sebagai pembangkang.

Namun hakikatnya, kata Rafizi, beliau mendapati ekonomi negara terdapat banyak masalah asas yang perlu diselesaikan dan perancangannya akan mengambil masa untuk rakyat menilai kesannya.

“Saya tidak banyak muat naik kandungan kerja seharian kerana saya faham kesan perencanaan ekonomi banyaknya akan mengambil masa yang lebih panjang sebelum hasil dirasai, apatah lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh (stakeholders) utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain,” kata beliau dalam kenyataannya.

Bagaimanapun Rafizi menghargai semua pihak yang ditemuinya kerana faham hala tuju ekonomi yang hendak dibawa.

Tegas beliau, kerajaan perpaduan bertekad mengalih haluan ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

Beliau juga berpendapat usaha mengekang inflasi boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga dengan membayar subsidi, meningkatkan persaingan pembekal (dengan menangani monopoli) dan menambah bekalan termasuk mengimport.

“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan ‘tabiat pengguna’ yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan lebih anjal,” katanya.

Cuma Rafizi sedikit bimbang menghadapi mainan politik pembangkang PN yang memesongkan pemikiran rakyat untuk mendesak hasil segera melalui perancangan ekonomi.

Katanya, PN harus mencermin diri mereka sendiri kerana sepanjang 3 tahun sebagai Kerajaan masalah yang mereka tinggalkan kini terpaksa dibersihkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, katanya beliau akan cuba melakukan anjakan eknomi ke arah kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan

“Ujian sebenar ialah bagaimana saya berjaya melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.

“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

“Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur.

“Masa sebulan telah memberi saya gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini,” katanya.

Justeru Rafizi memberi jaminan selepas beberapa tahun rakyat akan melihat kepesatan ekonomi negara berubah daripada sebelumnya.

 

BACA JUGA PM jauh ke depan, Salahudin, Mat Sabu cemerlang di kementerian

Â