Mohamad Sabu habiskan cuti hujung minggu lawat ladang telur di India
EKSKLUSIF Ketika rakyat Malaysia bercuti hujung minggu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Haji Mohamad Sabu ke Namakkal, Tamil Nadu, India hujung minggu ini bagi melihat sendiri bagaimana telur-telur ayam diproses sebelum dieksport ke Malaysia.
Tujuannya hanya satu, bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia ini adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Mohamad menghubungi Harapan Daily dari Namakkal jam 8.45 malam ini ketika dalam perjalanan balik ke lapangan terbang Chennai, India selepas melawat selama dua jam ladang pengeluaran dan pusat pengumpulan telur sebelum di eksport.
“Setelah melihat sendiri, saya yakin telur ini selamat dan melalui proses yang hygienic untuk dimakan oleh rakyat Malaysia,” kata Mohamad.
Untuk sampai ke Namakkal, Mohamad terpaksa menaiki kereta selama lapan jam dari lapangan terbang Chennai yang terletak dalam negeri Tamil Nadu, Selatan India.
“Saya duduk dalam kereta lapan jam dan sekarang dalam perjalanan balik ke lapangan terbang Chennai untuk pulang kira-kira lapan jam lagi berkereta.
“Jadi ini dalam sejarah untuk saya juga kerana terpaksa naik kereta selama 16 jam dalam sehari,” kata Mohamad kepada Harapan Daily.
Melalui klip video yang dihantar, Mohamad berkata, beliau turut melawat pusat pengumpulan telur sebelum ia dihantar ke Malaysia, Maldive, Qatar, Oman dan beberapa negara lain lagi.
Dari Chennai Mohamad berlepas pulang semula ke Malaysia selepas kira-kira dua jam di Namakkal bagi melihat sendiri ladang dan pusat pengumpulan telur di sana.
Mulai 15 Disember lalu, telur yang diimport dari Namakkal, India telah mula sampai ke Malaysia melalui penghantaran percubaan.
Ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.
Ia dibawa dengan kargo udara menyebabkan harganya lebih mahal kerana kos pengangkutannya.
Selepas telur ini disahkan selamat dan bersih serta di terima oleh rakyat negara ini, telur ini akan dimport melalui kapal laut pula dengan kontena penghawa dingin bagi memastikan kualitinya tidak jatuh sepanjang perjalanan.
Harganya diyakini akan lebih rendah selepas ini dan menurut Mohamad ia akan lebih rendah atau pun kompetatif dengan harga telur tempatan.
Bagi memastikan proses penghasilan dan penghantarannya bersih dan selamat, Mohamad ke Namakkal untuk melihat sendiri tempat telur itu dihasilkan.
“Saya berpuashati dengan kebersihan dan kualiti telur yang dihasilkan di ladang ini.
“Dengan usaha ini saya berharap orang ramai tidak akan ada masalah dengan bekalan telur lagi terutama sekali di musim perayaan,” kata Mohamad.
Selain mengeksport ke Malaysia, telur dari Namakkal sebelum ini sudah lama dieksport ke negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi.
Semasa pertandingan akhir bola sepak piala dunia FIFA di Qatar baru-baru ini, telur dari Namakkal juga dieksport ke sana untuk memenuhi permintaan.
BACA JUGA Telur ayam dari India mula sampai hari ini bagi stabilkan bekalan
JUGA Telur India yang sama juga dieskport ke Qatar semasa FIFA ’22
DAN JUGA Strategi import menjadi, kini telur mudah didapati di pasaran
Â