Manfaatkan medium komunikasi kerajaan lawan ekstremisme kaum

EKSKLUSIF Konvensyen Akademi Nadhwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023 di Shah Alam yang melabuhkan tirainya kelmarin sarat dengan penegasan melawan ekstremisme kaum dan ‘pelampau’ agama.

Konvensyen tersebut menampilkan tiga pembentang utama iaitu Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; tokoh agama, Dr Zaharuddin Abd Rahman dan penganalisis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

Dr Mohamed Nashrudin

Salah seorang peserta, Dr Mohamed Nashrudin yang merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM) memuji pendekatan NUNJI 2023 yang membincangkan isu perpaduan, sentimen perkauman dan konsep besar Rahmatan Lil Alamin untuk mewujudkan negara rahmah.

Ketika ditemui Harapan Daily, beliau berpendapat program yang bertujuan memberi kesedaran kepada pengundi tentang keparahan esktremis perkauman ini perlu disebar luaskan dengan lebih berkesan melalui media-media utama.

Menurutnya, memegang tampuk pentadbiran memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memanfaatkan sepenuhnya medium komunikasi yang ada bagi menyekat cubaan memporak perandakan keharmonian kaum dalam negara.

“Sekarang ini kita nampak apa yang cuba dibawa pihak tertentu adalah fikiran yang serong, yang terlalu tumpukan eksklusif kepada sekumpulan kaum dan agama sahaja.

“Cuma apa yang boleh ditambah baik, saya kira mungkin kita di pihak kerajaan adalah lebih baik jika benda ini dapat disebarkan di media-media utama seperti Media Prima dan bukan sekadar di media sosial.

“Saya rasa itu mungkin lebih berkesan sebab kita nak bawa sesuatu yang baik, kesedaran untuk semua bukan sahaja pengundi muda di bandar. Namun, kita mahu kesedaran ini sampai kepada pengundi di kampung-kampung.

“Kita tak boleh terperangkap dengan strategi lama. Kita ada tokoh dan pemimpin yang baik, bahkan dasar Rahmatan lil Alamin juga adalah idea yang baik. Cuma kita guna strategi lapuk,” katanya kepada Harapan Daily.

Sehubungan itu, Nashrudin mencadangkan agar NUNJI selepas ini dapat mengetengahkan tokoh-tokoh bukan Islam sebagai panel dalam konvensyen tersebut supaya makna perpaduan dapat diluaskan.

“Mungkin juga boleh kita jemput ahli panel daripada mereka yang bukan Islam. Sekarang ini speaker kita semua Islam.

“Jadi kalau kita dapat input dari tokoh bukan Islam pula mungkin itu lebih menarik untuk bercakap tentang kaum dan agama serta apa aspirasi mereka. Apa yang mereka harapkan,” katanya lagi.

Perbaiki kelompongan 

Sementara itu, seorang lagi peserta, Mohammad Nazri Haris yang juga Setiausaha Akademi Ibnu Rusyd berpandangan bahawa program seperti ini perlu mencapai segmen lebih luas dengan menjemput pihak pengkritik kerajaan untuk memberi pandangan yang membina.

Mohammad Nazri

“NUNJI boleh mengetengahkan tokoh-tokoh lain hatta yang pernah mengkritik kerajaan untuk membuka pandangan yang lebih luas kepada hadirin yang datang.

“Misalnya, seperti Habib Ali Zainal Abidin, Dr Fathul Bari, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Firdaus Wong dan sebagainya.

“Ia akan menjadi satu medan ilmu yang baik kerana meraikan pelbagai perbezaan pendapat dan sisi pandangan yang lain untuk memperbaiki kelompongan yang ada,” katanya.

Selain itu kata Nazri, NUNJI pada tahun-tahun mendatang juga wajar mengetengahkan tajuk dan perbincangan yang lebih dekat dengan rakyat di akar umbi.

“Contohnya tentang keperluan para ilmuan agama untuk menyantuni anak muda di media sosial.

“Boleh juga kaitkan bagaimana pengurusan Islam yang rahmah boleh menyelesaikan masalah pendidikan buat anak-anak yang keciciran, dan tentang kebajikan rakyat yang tidak punya beras dan sayur di rumah,” tambah Nazri lagi.

Baca juga Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama

Â