Ahli akademik sokong akta jenayahkan individu adu domba isu kaum, agama

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menyokong cadangan berhubung pelaksanaan Akta Perpaduan Nasional supaya dapat menjenayahkan individu yang sengaja menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Beliau menegaskan bahawa ketaasuban dalam sesetengah masyarakat pada masa ini mengakibatnya berleluasanya sifat ekstremisme.

“Saya fikir ini yang berlaku dalam masyarakat kita. Bila taasub itu, apa yang anda buat baik, mereka tidak nampak baik.

“Hari ini kita boleh lihat, apa yang terangkan kebaikan akan ada sahaja perkara-perkara tidak baik yang dibangkitkan.

“Itulah realitinya. Ketaasuban membawa kepada hilangnya akhlak dan adab,” katanya dalam Konvensyen Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2023 kelmarin.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata demikian sebagai menyokong syor Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkenaan Akta Perpaduan Nasional.

Menurut Mujahid yang juga Pengerusi NUNJI 2023, akta hasutan sudah tidak lagi mencukupi untuk membendung sentimen permusuhan yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu.

Justeru, tegas bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, akta baharu atas nama Akta Perpaduan Nasional perlu digubal bagi menjenayahkan pihak yang sengaja mencetuskan permusuhan agama.

Mengulas lanjut, Agus sebagai ahli panel berkata, beliau turut mempunyai idea yang sama dengan menegaskan keperluan peruntukan undang-undang sedemikian dalam situasi negara berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara majmuk, rencam dengan pandangan politik sebegini, kita perlu akta pencegahan itu sebagai sesuatu untuk mengawal masyarakat.

“Kita mesti mempunyai satu akta yang tegas untuk memastikan masyarakat kita terkawal dari ancaman ekstremisme ini,” ujarnya.

Beliau turut mengetengahkan bagaimana fenomena ketaasuban sejak mutakhir ini berleluasa menerusi pelantar media sosial teruatamanya Tik Tok.

“Lihat pada hari ini, anak-anak muda, masyarakat TikTok hari ini, kalau kita tulis pemimpin politik berkata sesuatu, pemimpin itu dikeji, diberi gelaran pelik-pelik sehinggakan kita nak sebut pun tak sanggup.

“Tapi bagi mereka, itu biasa hasil daripada ketaksuban itu. Kalau mereka sokong, mereka angkat seperti malaikat. Tidak ada kesilapan pada pemimpin yang diangkat.

“Inilah dikotomi atau pemisahan masyarakat kita yang ada pada hari ini akibat daripada ekstremisme ini,” ujarnya.

Walau bagaimananapun, beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan menyekat ekstremisme perlu menghormati hak rakyat berpolitik dan hak negara.

“Hak negara adalah menjaga keselamatan rakyatnya manakala hak rakyat ialah berpolitik bagi mengawal negara daripada bertindak sewenang-wenangnya,” tambahnya lagi.

Baca juga Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama

Â