PRN Selangor: Amiruddin bunyikan semboyan perang untuk PKR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membunyikan semboyan perang agar jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) diaktifkan sebagai persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Selangor
“Kalau boleh hari ini menjadi titik mula untuk semua jentera di peringkat cabang, daerah mengundi untuk diaktifkan. Maknanya esok lusa semua kena aktifkan jentera.
“Paling tidak, memulakan kembali perhimpunan dan mesyuarat merangka program dan perancangan,” kata Amiruddin yang juga adalah naib presiden PKR pusat dan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor
“Ini kerana kita tak punya masa dan paling lama bulan enam, kita perlu bubar secara rasmi dun Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri-negeri yang tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan kerajaan pusat semasa pilihan raya umum ke-15.
Tiga negeri pertama merupakan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan manakala yang selebihnya adalah ditadbir oleh PAS dari Perikatan Nasional.
Tambah beliau lagi, usaha untuk parti tersebut memenangi PRN perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
“Dalam pembentangan sebentar tadi, menunjukkan kerusi-kerusi tumpuan yang boleh dimenangi, kerusi yang berdepan risiko kekalahan dan juga kerusi yang mungkin terpaksa kita tambah kekuatan.
“Oleh itu, usaha untuk menang dalam pilihan raya harus diberikan tumpuan oleh semua, baik daripada pimpinan di kalangan ketua cabang, angkatan muda dan wanita, dan sudah pasti ahli-ahli dewan negeri, ahli-ahli parlimen yang telah mewakili kita dan bertanding untuk kita dalam pilihan raya sebelum ini,” ujarnya lagi.
Terdapat sejumlah 56 kerusi dewan undangan negeri di Selangor. Di dalam pilihan raya umum ke 14. Pakatan Rakyat memenangi 51 kerusi.
Dari jumlah tersebut, PKR sahaja memperoleh 25 kerusi. Ini diikuti oleh DAP dengan 15 kerusi. Bersatu dan AMANAH masing-masing mendapat enam dan lima kerusi.
Langkah Sheraton dan seterusnya pembentukan Perikatan Nasional meningkatkan sedikit bilangan Adun pembangkang.