Kadar pengangguran kalangan belia sangat tinggi, membimbangkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap angka pengangguran dalam negara yang melibatkan golongan belia.
Beliau berkata, secara umumnya, angka pengangguran yang dipaparkan semakin berkurang, namun pengangguran dalam kalangan anak muda berumur 25 tahun ke bawah adalah sangat tinggi.
“Umumnya kalau kita baca angka-angka pengangguran (kelihatan) baik.
“Tapi kalau pengangguran belia anak muda di bawah 25 tahun itu sudah mencecah lebih 10 peratus. Sangat tinggi.
“Dan dalam kalangan mereka adalah golongan wanita yang lebih terbeban bila berlaku Covid-19 kerana pengambilan kerja baru (di mana) golongan wanita tersisih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023, ‘Membangun Malaysia Madani’, di Bangunan Kementerian Kewangan hari ini.
Dalam ucaptama di hadapan 170 organisasi swasta, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Anwar turut menekankan mengenai sikap ‘terlalu selesa’ dengan apa yang sudah dikecapi sehingga tidak memacu kepada kemajuan baharu.
Beliau berkata, perancang ekonomi dan pimpinan-pimpinan dari setiap wakil kementerian harus terima kenyataan bahawa perjalanan negara ini tidak boleh bersandarkan kepada budaya ‘business as usual’ atau terus merasa selesa dengan sistem yang ada.
Hal itu kerana katanya, apabila tiada kemajuan baharu yang digerakkan maka hak rakyat miskin tidak akan terbela.
“Maka sebab itu, kita tidak fikir kita boleh mendepani tahun 2023 dengan keadaan selesa. Kalau ada budaya selesa, kita tidak akan dapat memacu pertumbuhan yang kita harapkan.
“Jangan kita hanya merenung dan merasa kelesuan akibat ekonomi merudum. Tetapi kita harus mencari jalan dalam bidang-bidang baru, ekonomi hijau, dan teknologi digital.
“Dan kita di sini jangan lupa bahawa bila keadaan ekonomi menekan, golongan miskin paling terkesan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Malaysia tidak akan maju jika konflik perkauman berpanjangan
Â