Pas parti paling “sempurna”, PKR Selangor waspada
Parti Keadilan Rakyat Selangor memandang serius kemaraan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Chua Wei Kiat, jentera PKR Selangor tidak akan memandang mudah propaganda hasutan kebencian kaum dan agama yang dimainkan oleh PN.
“Pakatan Harapan (PH) Selangor telah ambil maklum Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada tahun ini bukan medan perang yang senang.
“Sebab kami tahu PN terutama parti yang “paling sempurna” Pas akan cuba sedaya upaya menanam benih kebencian rakyat terhadap PH Selangor dengan mempermainkan isu agama, bangsa dan sebagainya.
“Mengenai kenyataan Pas Selangor berkata PN ada keyakinan mampu ambil alih kerajaan Selangor, saya tidak akan pandang rendah kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut ADUN Rawang itu lagi, perancangan rapi akan dilakukan selepas Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN minggu lepas yang mana Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli telah memberi peringatan kepada seluruh anggota dan jentera parti bahawa mereka harus bekerja lebih keras menyantuni rakyat dan memperbaiki kelemahan.
“PKR akan berwaspada menghadapi PRN Selangor yang bakal berlangsung pada tahun ini, dan saya percaya komponen parti PH juga akan ambil sikap yang sama.
“Saya yakin rakyat Selangor akan menilai prestasi kerajaan Selangor yang diterajui oleh PH Selangor, rakyat semakin cerdik dan menerima lebih banyak informasi boleh membuat perbandingan cara pentadbiran Selangor dengan cara Pas memimpin negeri Kelantan, Terenggganu dan Kedah sebelum membuat keputusan di PRN,” katanya.
Bagaimanapun, Wei Kiat berharap rakyat Selangor akan setia bersama PH yang telah memerintah selama 3 penggal dan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Dalam tempoh PH pegang kuasa di Selangor kebajikan rakyat sentiasa dijaga, kritikan dan keluhan rakyat juga didengari oleh pihak kerajaan dan memperbaiki cara pengurusan.
“Yang lebih penting ialah kerjasama dan hubungan yang baik di antara negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memberi lebih keyakinan kepada rakyat Selangor,” katanya lagi.
Untuk rekod PN kemaraan PN pada PRU 15 lalu telah berjaya mengambil alih 3 kerusi parlimen PKR di Kuala Langat, Kapar dan Hulu Selangor.
BACA JUGA Beli undi: BN cabar kemenangan PAS di Terengganu