Malaysia Madani: Satu renungan awal

Frasa masyarakat madani menjadi buah mulut masyarakat Malaysia ekoran dari pengenalan semula konsep tersebut menerusi tema belanjawan 2023 Membangun Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17  Januari.

 

Madani mempunyai enam rukun utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Jika diperhatikan dengan teliti anda akan dapat melihat huruf-huruf yang membentuk kata ‘madani di dalam keenam-enam rukun yang tersebut.

 

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan madani? Apakah maksudnya kepada kita, orang kebanyakan dan marhaen, baik miskin mahupun kaya? Inilah yang penulis cuba rungkaikan di sini.

 

Sebelum ini pun kita sudah banyak mendengar slogan dan wawasan yang hanya menjadi catatan sejarah dan omongan kosong.

 

Islam Hadhari umpamanya hanya gah ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Wawasan 2020 yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pula satu igauan kerana dalam tahun 2020 Malaysia dan kebanyakan negara di dunia berdepan dengan ancaman wabak Covid-19.

 

Datuk Seri Najib Razak pula berusaha menjenamakan 1Malaysia dalam semua program kerajaan walaupun ia bertujuan untuk menyatupadukan rakyat. Idea itu sendiri tidaklah unik kerana banyak negara lain turut menggunakan idea ini. Contohnya Israel. Malahan di Israel, ada parti One Israel.

 

Dari sudut bahasa, perkataan madani berasal dari bahasa Arab yang bererti kota peradaban. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkannya sebagai maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Pendek kata, madani bermaksud tamadun.

 

Di dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia, edisi terjemahan The Asian Renaissance, yang diterbitkan pada tahun 1997, satu bab yang khusus diperuntukkan oleh Anwar untuk membincangkan demokrasi dan masyarakat madani. Anwar menekankan kepentingan budaya dalam perbincangan demokrasi dan masyarakat madani di benua Asia. Beliau turut mencatatkan kepentingan perkembangan ekonomi.

 

Selain itu, sudut agama tidak diketepikan malah diangkat melalui karamah insaniah atau dalam bahasa mudahnya maruah diri. Ide kekudusan diri wujud dalam setiap agama yang dianuti baik di Malaysia mahupun di Barat. Pada masa sama konsep musyawarah juga perlu dimasukkan agar ia meliputi segenap lapisan masyarakat.

 

Selain itu beliau turut menekankan peranan media massa yang bebas menurut acuan sendiri. Beliau turut mengungkapkan bahawa penukaran pemerintahan tanpa mengangkat suara tertindas akan menyebabkan demokrasi itu menjadi “pesta istimewa untuk orang kaya dan sang penguasa.

 

Di dalam syarahan yang disampaikan di Festival Istiqlal di Jakarta pada 26 September 1996 bertajuk Islam dan Pembentukan Madani, beliau menghujahkan bahawa kita tidak perlu menjadi sekular memandangkan Islam membawa revolusi rohaniah dan akliah kepada rantau Asia Tenggara dan Malaysia, khususnya.

 

Beliau melihat perjuangan mengangkat masyarakat dalam konteks demokrasi ini sebagai perjuangan yang turut memerlukan perubahan dalaman setiap insan dengan nilai ummatan wasatan iaitu kesederhanaan masyarakat.

 

Sekarang kita akan melihat bagaimana kau dan aku boleh menterjemahkan konsep madani tanpa ide penjenamaan 1Malaysia atau penjenamaan semula Keluarga Malaysia pentadbiran lalu.

 

Kita semua mempunyai peranan yang wajib dimainkan sebagai seorang individu dan anggota keluarga. Di dalam alam pekerjaan anda juga mempunyai tugas yang khusus dan khas. Anda wajib menjalankan tugas tersebut sehabis baik berdasarkan nilai yang digariskan di dalam konteks madani.

 

Contohnya, seorang jurugambar tugasnya mengambil gambar. Walau bagaimanapun sekiranya jurugambar memilih untuk tidak mengambil gambar mangsa rogol bawah umur di mahkamah.

 

Selain undang-undang tidak membenarkan gambar berkenaan diterbitkan, keputusan jurugambar untuk tidak mengambil gambar itu selaras dengan karamah insaniah. Ia selaras dengan perbuatan menjaga maruah individu yang terkesan.

 

Sebagai penulis, seseorang itu wajib menyampaikan mesej dengan lengkap dan betul memandangkan penulisan mencambahkan ide yang boleh merubah masyarakat semasa. Ini bermakna para penulis mesti menulis dalam ayat lengkap, bukannya seperti perbualan sepatah dua kata yang disulami dengan emotikon di dalam laman Telegram.

 

Bagi penjawat awam, ide madani boleh diterjemahkan dengan tidak mengiakan secara sembarangan perkara-perkara yang berkaitan. Perkara – perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada ummah wajib dicegah.

 

Ketirisan wang yang berlaku kerana projek yang dijalankan oleh pihak – pihak tertentu berlaku kerana penjawat awam memilih untuk membisukan diri apabila berlaku kemungkaran yang akhirnya memudaratkan negara.

 

Dalam membincangkan konsep madani Anwar dan peranan kita sebagai mengingatkan penulis kepada satu dialog yang diucapkan oleh pelakon filem Tamil, mendiang Sivaji Ganesan dalam filem Thevar Magan (1992) berkata, “Buah-buahan di pokok tersebut akan dinikmati oleh cucu cicit saya. Tetapi benih untuk pokok tersebut saya yang tanamkan.”

 

Konteks yang dihadapi oleh watak tersebut hampir sama seperti yang dihadapi Anwar sekarang. Bezanya dalam filem tersebut, cerita tersebut melibatkan penduduk kampung.

 

Anwar menanam benih pokok yang bernama madani hari ini. Terpulang kepada kita semua untuk membaja dan menjaga pokok ini agar keturunan kita mendapat hasilnya.