‘Sedekah’ bertukar rasuah jika untuk undi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian wang kepada rakyat untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) adalah satu perbuatan rasuah.
Menurut Anwar, amalan ‘komisen’ dan ‘sedekah’ dalam mana-mana pilihan raya dengan secara jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.
“Sedekah sebagai amal jariah dibolehkan tetapi sedekah untuk dapat undi pada pilihan raya adalah rasuah.
“Atas sebab itu saya tekankan negara (ini) mampu naik semula kerana saya yakin Malaysia punyai potensi yang cukup baik untuk diangkat semula sebagai negara maju di rantau ini.
“Syaratnya hentikan sikap dan perangai sama ada pimpinan politik, penjawat awam di peringkat tertinggi atau badan penguatkuasaan, mesti dan wajib hentikan amalan rompakan kekayaan negara,” ucapnya semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mesti ada keberanian untuk menolak fahaman perkauman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau yakin negara akan dapat mencatat tahap kemajuan dalam masa singkat yang belum pernah disaksikan sebelum ini sekiranya wujud semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat untuk menolak amalan merompak kekayaan negara.
Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang, petang tadi.
Turut hadir bersama ialah Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan pemimpin negeri lain.
Ini adalah kehadiran pertama Anwar ke negeri asalnya setelah dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
Baca juga Jangan jadi menteri kalau mahu kaya