Menteri mahu dasar Malaysia Madani dilaksanakan di KPKT
Sejak dilantik sebagai Menteri Pembangunan & Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif yang lebih cekap dan telus.
Menariknya lagi, beliau rajin turun padang untuk melihat sendiri realiti sebenar berkenaan isu melibatkan kerajaan tempatan.
Siapa sangka akan ada menteri yang turun padang melakukan spotcheck bagi memantau keadaan sebenar tandas awam yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Itulah tindakan yang telah dilakukan olehnya yang mendapat pujian orang ramai.
Jika diimbas kembali dalam masa sebulan lebih sahaja, Nga Kor Ming telah melakukakan beberapa perkara dan saranan berikut:
1. Buat spotcheck dan gesa PBT meningkatkan kebersihan 18,000 tandas awam di Malaysia agar ia mencapai status BMW (Bersih, Mewah & Wangi)
2. Tubuh special taskforce untuk selesaikan 550 projek perumahan sakit dan terbengkalai
3. Lawatan spontan kawasan tumpuan pelancong dan arahkan syarikat konsesi untuk memantau masalah sampah 24 jam
4. Menggesa DBKL untuk mencari penyelesaian bagi 25 hotspot banjir kilat
5. Respon pantas semasa bencana
6. Memenuhi kesemua jawatan 39 orang Presiden Tribunal Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata bagi mempercepatkan penyelesaian tuntutan
7. Bersama DBKL mengenalpasti 260 projek pengindahan dan pembersihan bernilai RM100 juta
8. Menghargai perkhidmatan bomba dan komited untuk meningkatkan kebajikan anggota bomba
Dalam salah satu inisiatifnya untuk terus menghargai jasa dan keringat pihak bomba, beliau juga telah melakukan perbincangan dengan pihak tertinggi kementerian serta memohon peruntukan tambahan sebanyak RM26.5 juta.
“Saya berdoa agar bajet ini akan dibentangkan pada 24 hari bulan Februari,” katanya.
Untuk Dasar Perumahan Negara pula, Nga Kor Ming dan pasukannya akan mengambil kira intisari MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Konsep Malaysia MADANI akan diterapkan bagi menyelesaikan masalah perumahan di negara ini.
Melalui dasar ini, beliau percaya sasaran untuk menyediakan 500 ribu rumah mampu milik menjelang 2025 akan berjaya melalui kerjasama dengan semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.
Pihak KPKT ketika ini sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam.
Semoga dengan inisiatif dan dasar yang diperkenalkan oleh KPKT diterajui Nga Kor Ming akan memberi lebih banyak berita gembira untuk rakyat.