Yuran program ambil pekerja asing kekal RM1,500
Yuran bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi pengambilan pekerja asing yang berada dalam negara ini, kekal RM1,500, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Setakat ini tiada keperluan untuk mengurangkan atau memansuhkan yuran berkenaan,” katanya berhubung kenyataan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), yang meminta yuran atau kompaun rekalibrasi dikaji semula.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada 18 Januari lalu dilaporkan berkata permohonan pengambilan pekerja asing di bawah program RTK 2.0, dibuka mulai 27 Januari sehingga 31 Disember tahun ini, melibatkan lapan sektor yang dibenarkan termasuk pembantu rumah asing yang baru ditambah.
Lapan sektor yang dibenarkan itu ialah perkilangan; pembinaan; perlombongan dan kuari; pengawal keselamatan; perkhidmatan; pertanian; perladangan; dan pembantu rumah asing.
Program RTK sebelum ini tamat pada 31 Disember 2022, diwujudkan bagi menjadikan pendatang tanpa izin yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak dan tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan, menerusi Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
Pelaksanaan semula program RTK dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, merupakan antara dua perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Januari lalu.
Saifuddin berkata program RTK itu dilaksanakan, bagi memudahkan majikan mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini, tanpa perlu mengambil pekerja dari negara sumber dengan kos lebih murah, kerana tidak perlu membayar agensi pekerjaan untuk membawa masuk pekerja asing baharu.
“Setakat ini tiada perubahan (yuran) dan ia kekal status quo,” katanya.
Saifuddin berkata kerajaan menjana lebih RM700 juta pendapatan menerusi program rekalibrasi berkenaan, pada tahun lalu.
Beliau berkata sehingga 22 Jan tahun ini, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 1,484,677 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara, dengan Bangladesh yang tertinggi melibatkan 446,229 pekerja, Indonesia (399,827), Nepal (285,768) Myanmar (135,590) dan India (81,002), serta lain-lain.