Ahli UMNO sertai PH, terpulang kepada parti komponen
Spekulasi terdapat ahli UMNO yang dipecat akan menyertai parti komponen Pakatan Harapan terbuka untuk pertimbangan parti masing masing.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, PH sebagai gabungan tidak akan masuk campur urusan dalaman parti komponen.
Setiap parti katanya bebas membuat keputusan sekiranya ada permohonan baharu.
“Terpulanglah kepada mereka. Mereka (ahli UMNO dipecat) belum menyatakan hasrat mereka. Jadi kita tak perlu buat kesimpulan.
“Jika ada sesiapa yang membuat permohonan, itu parti masing-masing akan pertimbangkanlah,” katanya.
Loke berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber, hari ini.
Dalam pada itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan kini komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
“Urusan dalaman politik masing-masing kita biarkan pimpinan masing-masing untuk uruskan.
“Kita akan uruskan kerja kita untuk menyampaikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan itu akan kita berikan tumpuan supaya terus mendapat sokongan rakyat, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin UMNO telah memutuskan untuk memecat bekas Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar dari parti berkenaan.
BACA JUGA Noh Omar, Khairy dipecat, Hishammuddin digantung
Â