Selepas Menteri Sumber Manusia buat ‘spotcheck’, tiga kilang kena tindakan
Mungkin sebahagian daripada kita berasa bahawa di dunia moden ini tidak wujud lagi konsep perhambaan.
Hakikatnya, ia masih berlaku dalam pelbagai bentuk yang kita tidak sedar. Negara kita Malaysia juga tidak terlepas daripada isu perhambaan moden ini jika mereka yang diberi kuasa tidak menjalankan tanggungjawabnya.
Badan Antarabangsa, Anti-Slavery International melaporkan bahawa terdapat hampir 50 juta orang terperangkap dalam perhambaan di seluruh dunia ketika ini.
Pekerja migran atau pekerja warga asing adalah antara mereka yang sangat terdedah kepada kerja paksa yang membawa kepada perhambaan moden.
Di Malaysia, amatlah memalukan jika terdapat majikan yang mengamalkan konsep perhambaan terhadap pekerja warga asing sedangkan negara kita dikenali sebagai negara yang aman dan harmoni. Pastinya negara kita akan dipandang serong oleh badan-badan antarabangsa di luar sana.
Tindakan yang dilakukan oleh Menteri Sumber Manusia dari DAP, V. Sivakumar harus dipuji kerana begitu tegas dalam menangani isu melayan pekerja warga asing seperti hamba.
Baru-baru ini, V. Sivakumar telah turut dalam serbuan Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga buah kilang berasaskan produk kayu dan getah di Jalan Kapar.
Daripada serbuan tersebut, didapati penginapan pekerja warga asing di sana telah dibina secara haram selama hampir tiga tahun.
Selain itu, majikan didapati tidak menyediakan tilam, ruang masak buruk dan bilik sempit serta tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Bertambah teruk lagi apabila didapati majikan juga tidak mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Kita perlu layan mereka seperti manusia, sebab kita diperhatikan. Bukan sahaja rakyat (negara ini) malah peringkat antarabangsa.
“Jangan buat macam kandang lembu atau kandang kerbau, ia sangat membahayakan pekerja-pekerja asing dan akan menjadi isu besar jika berlaku musibah,” kata V. Sivakumar
Selepas serbuan tersebut, ketiga-tiga kilang itu akan didakwa sejurus kertas siasatan lengkap. Untuk memastikan hal yang sama tidak berlaku lagi, beliau akan memastikan kekerapan pemeriksaan di penginapan pekerja asing di seluruh negara dipertingkatkan.
Ini kerana kekerapan pemeriksaan yang kurang menyebabkan majikan menjadi sambil lewa.
Diharapkan tindakan dan inisiatif yang diketengahkan oleh V. Sivakumar ini dapat memberi ruang kerja yang lebih baik kepada pekerja warga asing yang akan menyumbang kepada produktiviti di negara kita ini.