Lebih 33,000 kunci Rumah Selangorku berjaya diserah kepada pembeli – MB
Kerajaan Selangor berjaya menyerahkan sebanyak 33,071 kunci projek Rumah Selangorku kepada rakyat negeri tersebut sehingga 1 Januari lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penyerahan kunci melibatkan sebanyak 93 projek rumah mampu milik di seluruh negeri ini yang dilaksanakan dengan lancar.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah menyerahkan kunci Rumah Selangorku sebanyak 33,071 kepada rakyat Selangor setakat 1 Januari 2023.
“Kesemua ini melibatkan 93 projek yang berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Amirudin berkata sebanyak 16,965 rumah pula sedang dalam pembinaan manakala bakinya sedang melalui peringkat kelulusan pembangunan.
“Pemantauan kemajuan akan dipastikan oleh agensi-agensi berkaitan dari semasa ke semasa. Kesemua projek ini dibina dengan berkualiti dan ditawarkan dengan harga berpatutan untuk rakyat Selangor,” katanya.
Tambah beliau kerajaan negeri turut menyediakan Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor yang memudahkan lebih ramai lagi rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.
“Semua ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat negeri ini dapat memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan berbaloi pada harga mampu milik.
“Kerajaan negeri turut menghargai maklum balas baik serta sambutan ramai yang diterima,” katanya.
Sementara itu, dalam infografik yang dikongsi Amirudin menyatakan, projek Rumah Selangorku itu melibatkan Rumah MBI Idaman dan Rumah Harapan yang telah dilancarkan kerajaan negeri.
Jelas infografik tersebut, sebanyak 386 projek perumahan tersebut telah diluluskan melibatkan 221, 671 unit rumah.
Sebanyak 91 projek telah siap dibina manakala 61 lagi dalam proses pembinaan setakat 1 Januari.
BACA JUGA: Pahang-Selangor rintis kerjasama pengurusan kualiti air mentah, perhutanan
Â