Chow fail saman fitnah terhadap Tan Kok Ping
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah memfailkan saman fitnah beliau yang pertama terhadap presiden kehormat seumur hidup Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping ekoran daripada kegagalan Tan memohon maaf selepas membuat kenyataan perjanjian di dalam satu sidang media pada 18 Oktober lalu.
“Menggunakan kapasitinya sebagai presiden kehormat seumur hidup dewan perniagaan itu, Tan mengadakan sidang media berkenaan dengan Perjanjian Pembangunan Bersama bertarikh 27 Sept 2023, untuk cadangan projek pembangunan antara Penang Development Corporation (PDC) dan Umech Land Sdn. Bhd.
“Walaupun penamatan perjanjian itu sudah pun diumumkan oleh PDC kepada media dan orang ramai pada 16 Okt 2023, Tan sengaja membuat kenyataan fitnah dalam bahasa Mandarin semasa sidang media untuk menyerang watak, kredibiliti, kecekapan dan keupayaan saya sebagai menteri besar Pulau Pinang dan sebagai pengerusi PDC.
“Kenyataan fitnah itu akhirnya dicetak dan disiarkan antara lain dalam beberapa akhbar berbahasa Cina terkemuka. Memandangkan tiada percubaan Tan untuk memohon maaf atau menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat, saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan,” kata Chow menerusi hantaran Facebook.
Pengurusan kes akan didengar secara atas talian pada 24 Januari.
Tan, seorang hartawan terkenal di Pulau Pinang pernah membantu parti Chow, DAP ketika pilihan raya tahun 2008 dengan membenarkan himpunan politik dibuat di Kolej Han Chiang.
Ketika itu DAP gagal mendapat permit untuk berceramah di kawasan terbuka.