Pembangunan Labuan, infrastruktur, masalah warisan fokus Menteri WP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan menumpukan tumpuan terhadap pembangunan Labuan, infrastruktur dan masalah warisan di wilayah lain.
Ini merupakan fokus beliau.
“Ini juga telah disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi saya nampak beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera terutama masalah infra. Bagi saya itu adalah kemudahan asas yang perlu diselesaikan,” kata Menteri Wilayah Persekutuan wanita pertama.
“Saya berharap dalam tempoh setahun ini kita boleh selesaikan masalah tersebut berikutan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke Labuan Disember lalu telah mengumumkan RM300 juta bagi memastikan prasarana seperti elektrik dan air ini dapat diselesaikan,” katanya, lapor Wilayahku.
Labuan
Beliau turut menyambut baik projek jambatan Labuan-Menumbok, Sabah yang disifatkannya sebagai pemboleh ubah termasuk untuk memacu pembangunan di Labuan.
“Saya difahamakan sekiranya kewujudan jambatan itu nanti ia akan memudahkan proses mengangkut air bersih ke Labuan dan saya akan melawat semula projek berkenaan.
“Kita juga akan cuba usahakan termasuklah berbincang semula dengan Kerajaan Persekutuan. Saya lihat ada beberapa perkara yang kita boleh teroka model
perniagaan baharu yang membolehkan perkara itu menjadi suatu yang realiti,” katanya.
Zaliha berkata isu infrastruktur di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah berbeza dengan Labuan di mana lebih banyak penekanan diberikan kepada penyelenggaraan.
“Infrastruktur ini lebih kepada penyelenggaraan dan daripada taklimat yang disampaikan, saya dapati kerja-kerja yang dijalankan itu tidak menepati tugas yang sepatutnya dilakukan.
“Sebagai contoh jalan berlubang yang berpotensi mengakibatkan kemalangan, saya dapati kita ada kaedah untuk mempercepatkan dan mempermudahkan proses penyelenggaraan untuk keselesaan orang ramai.”
Beliau menambah bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk meningkatkan mutu infrastruktur.
“Sudah tentu kita perlu bekerjasama dengan agensi lain dan sebagai contoh aduan yang diterima agak banyak namun untuk menyelesaikan itu ada sedikit lambat dan kita kena perbaiki.
“Jika perlu penambahan petugas, itu perlu dijadikan keutamaan. Sekali lagi, ia perlu diselesaikan segera kerana sebagai ibu kota, ia tidak cantik jika perkara yang berkaitan dengan kemudahan asas tidak ditangani dengan baik,” katanya.
Zaliha turut melihat penggunaan teknologi sebagai satu kaedah penyampaian yang lebih berkesan.
“Saya lihat penggunaan teknologi dapat mengurangkan penggunaan masa dan selain itu, kita perlu melihat dari aspek tata kelola,” katanya.
Berkenaan isu kesesakan lalu lintas, beliau melihat konsep Bandar Pintar dengan ciri -ciri mesra pengguna sebagai jalan penyelesaian.
Berkenaan portfolio kabinetnya pula, beliau menyifatkannya sebagai tanggungjawab besar memandangkan Kuala Lumpur ialah ibu negara, Putrajaya pusat pentadbiran manakala Labuan ialah mutiara Borneo yang perlu diberikan perhatian.
Pembangunan
Ketika ditanya berkenaan pembangunan, Dr Zaliha berkata masih terdapat kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang boleh dibangunkan.
“Contohnya Pembangunan Semula Kampung Baru yang dirancang untuk mewujudkan perbandaran baru yang turut mengandungi potensi lain yang boleh dibangunkan. Selain itu, tempat-tempat lain atau istilahnya pockets dalam bandar raya ini yang boleh dimaksimakan pembangunan dari sudut fizikal.”
Putrajaya yang merupakan bandar terancang pula mempunyai potensi lain untuk dibangunkan.
Beliau mengakui Labuan agak terkebelakang dalam pembangunan dan akan turut sama mengangkat isu sosioekonomi masyarakat selaras dengan hasrat perdana menteri yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar.
Berhubung isu kemiskinan bandar pula, Dr Zaliha melihat penyelesaiannya dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Saya juga lebih gemar untuk melaksanakan program yang bersifat exit program. Sudah tentu pada peringkat awal, golongan ini perlu dibantu tetapi berapa lama
perlu dibantu, maka kerajaan mesti sediakan program yang jelas agar mereka ini dapat berdikari dan keluar dari kepompong kemiskinan dan ia mestilah mampu dikekalkan sekali gus mereka tidak lagi kembali menjadi golongan miskin.”
Pada masa sama beliau turut mengakui kekangan utama untuk membangunkan ketiga-tiga wilayah adalah kekangan peruntukan.
Warisan pentadbiran terdahulu dan pendatang asing
Satu lagi isu yang turut disentuh beliau ialah masalah warisan dari pentadbiran terdahulu.
“Antara masalah warisan yang perlu saya uruskan adalah isu melibatkan Kampung Setia Jaya di Wangsa Maju yang menghadapi pengusiran untuk pembangunan kampus Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan ia telah berlanjutan 30 tahun.
“Ia merupakan masalah warisan yang boleh diselesaikan dan kita hendak jadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang terus membangun.”
“Ada juga beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan disebabkan isu politik. Dan ini yang perlu diketepikan dalam keadaan kita hendak membangunkan Wilayah Persekutuan dan pembangunan yang hendak dipertingkatkan lagi, isu ini memang tidak boleh dipolitikkan kerana ia akan merugikan rakyat dan negara. Selain itu, masalah kebanjiran warga asing dan pembangunan Kampung Baru juga antara masalah yang perlu ditangani dengan sokongan semua pihak
Soalan berkaitan operasi ke atas pendatang asing tanpa izin turut diajukan kepada Dr Zaliha.
“Ada sesetengah keadaan ia hanya sekadar sangkaan semata-mata misalnya operasi itu digembar-gemburkan sebagai ‘Mini Dhaka’, walhal ia bukan menjadi tumpuan warga Bangladesh sahaja, bahkan ada dari Myanmar dan Filipina dan ini adalah perkara-perkara yang perlu kita lihat secara terperinci,” katanya.