Dokumen dedahkan, isteri dan anak-anak Daim warisi ratusan juta di luar pesisir

Ketika SPRM menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin, satu dokumen yang bocor mendedahkan bahawa keluarga Daim Zainuddin adalah pemilik satu lagi aset pegangan amanah luar pesisir tersembunyi yang nilainya ratusan juta ringgit.

Dokumen yang diperoleh Konsortium Kewartawanan Penyiasatan (ICIJ) dan dikongsi dengan Malaysiakini, menunjukkan badan amanah yang ditubuhkan atas nama isteri bekas menteri kewangan itu Naimah Khalid dan dua anak lelakinya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin itu dipanggil hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan minggu lalu.

Selasa lepas, empat individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.

Daim yang sepatutnya diambil keterangan sebelum didakwa beberapa hari lalu didakwa mengelakkan diri dengan alasan sakit dan memasuki sebuah hospital.

Daim turut memfailkan saman kepada SPRM bagi membantah siasat badan pencegah rasuah itu terhadap dirinya.

Sebelum ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan merupakan antara yang disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan ke atas Daim juga dijalankan SPRM susulan pendedahan berhubung kekayaannya dalam Kertas Pandora.

Dalam pendedahan itu, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya RM141 juta.

Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di ibu negara, yang dikatakan milik keluarga Daim.

Daim juga mendakwa, beliau mempunyai kekayaan yang lebih banyak lagi jika tidak menyertai politik dan memegang jawatan dalam kerajaan.

Â