Baddrol berang difitnah Harakatdaily, beri amaran saman jika tak padam

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar memberi amaran kepada Harakatdaily HD, sebuah laman Facebook ‘troll’ agar menurunkan hantaran yang didakwa memfitnahnya.

Menerusi hantaran berbentuk sindiran di Harakatdaily, laman itu mendakwa Baddrol mempunyai taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia.

Namun pasukan kebangsaan perlu menang dahulu sebelum rahsia tersebut boleh didedahkah.

“Baddrol ada taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia. ‘Kalau nak tahu, kena menang dulu,’ ujarnya bersahaja,” demikian hantaran di Facebook troll tersebut.

Membalas hal itu, Baddrol menafikan mengeluarkan kenyataan seperti yang disiarkan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 36 tahun itu mahu kenyataan tersebut dikeluarkan segera atau tindakan undang-undang bakal diambil.

“Fitnah!! Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam page Harakatdaily HD dan @aman shah SP berkenaan.

“Sila padam hantaran tersebut segera!!! jika tidak tindakan undang-undang akan menyusul atas fitnah ini.

“Saya juga memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat,” katanya.

Pada pilihan raya enam negeri yang lalu, bekas pemain bola sepak itu teruk dikritik selepas menyatakan dia mempunyai manifesto sendiri dan ia hanya akan diberitahu sekiranya kemenangan berpihak padanya.

“Memang saya ada manifesto sendiri, tetapi manifesto itu akan terjadi bila kemenangan berpihak kepada saya.

“Kena undi dulu baru boleh bagi tahu. Dekat Kedah ni akan ada kejutan,” ujar Baddrol.

BACA JUGA Dokumen dedahkan, isteri dan anak-anak Daim warisi ratusan juta di luar pesisir