Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan selama tiga hari
Kongres Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan bersama oleh presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli akan diadakan selama tiga hari mulai 29 Februari sehingga 2 Mac.
“MARA dan Kementerian Ekonomi diberikan tanggungjawab menjadi Sekretariat Tetap penganjuran yang akan menyelaras seluruh proses penganjuran termasuk libat urus yang dijalankan oleh 10 kluster yang melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, usahawan, NGO, ahli korporat, usahawan muda dan lain-lain,” kata ketua sekretariat Kerajaan Perpaduan Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran Facebook.
Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin dari kesemua 14 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan turut hadir dalam mesyuarat ini.
Isu pemerkasaan ekonomi dan strategi untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat ketika ini turut diperhalusi.
Selain itu usul penganjuran Konvensyen Perpaduan di semua negeri yang melibatkan Kerajaan Madani turut diluluskan.
Konvensyen Perpaduan akan dimulakan di Perak pada 28 Januari.
Â