Ini sebabnya menteri seru naik taraf kemudahan di stesen ERL

Kemudahan infrastruktur di stesen Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di negara ini, perlu dinaik taraf supaya berwajah baharu agar lebih menambat hati pelancong dan pengguna tempatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ERL adalah ‘first impression’ yang membentuk imej negara kepada pengunjung dari seluruh dunia.

Menjelang 2026 beliau berkata, negara akan meraikan Tahun Melawat Malaysia secara besar-besaran.

“Negara bakal menerima bilangan pelancong yang ramai sekali gus menyumbang kepada kerancakan sektor pelancongan.

“Mengambil kesempatan ini, saya memanggil semua pihak dalam ekosistem pelancongan negara termasuk Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) untuk menumpukan usaha membuat persediaan awal mulai sekarang.

“Usaha itu adalah seperti menaik taraf kemudahan di stesen-stesen ERL supaya diberi wajah baharu yang lebih menawan hati pelancong dan pengguna tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Tambahan Antara Kerajaan Malaysia & ERL, di ibu negara, hari ini.

Menurut Loke lagi, ERLSB memainkan tanggungjawab yang penting sebagai pengendali perkhidmatan keretapi yang begitu istimewa dalam menjaga nama baik negara.

“Saya pasti ERL akan sentiasa berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan selain memastikan kemudahan yang disediakan dalam keadaan baik dan sentiasa memenuhi jangkaan penumpangnya.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada ERL dalam meneruskan perkhidmatan cemerlang bertaraf dunia,” ujar Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Â