Ajak solidariti selamatkan syariat, niat PN sangat meragukan
Seorang bekas pemuda Pejuang mengingatkan Perikatan Nasional (PN) dan Pas agar tidak memberi konotasi salah berhubung kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lawan Kerajaan Kelantan.
Ia susulan Pas dan PN mengajak orang ramai menyertai Himpunan Selamatkan Syariah di Mahkamah Persekutuan hari ini berikutan mahkamah tertinggi itu akan membuat keputusan berhubung cabaran undang-undang oleh peguam, Nik Elin terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Bekas Ketua Pemudanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, tindakan PN dilihat seperti mempunyai niat meragukan dan seolah-olah mahu menyatakan Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini ingin mengubah dan memberikan penafsiran baharu terhadap syariat.
“Apabila ada konotasi perkataan mempertahankan syariat, bagi saya itu mempunyai niat yang sangat sangat meragukan.
“Sama ada ia mempunyai niat yang jahat atau pun niat untuk menyatakan bahawa seakan-akan Mahkamah Persekutuan yang akan bersidang hari ini dan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, ingin merubah dan juga ingin memberikan penafsiran baru terhadap syariat.
“Tidak. Itu bukan apa yang dilakukan oleh pemohon Nik Elin dan mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu video dikongsi di TikTok.
Abu Hafiz menasihatkan agar pembangkang dan NGO-NGO di belakang mereka tidak memberikan maklumat yang salah sehingga membawa kepada kemarahan yang diasaskan atas perkara tidak benar sama sekali.
“Ia bukan untuk menilai apa yang ada dalam Al-Quran dan Sunnah. Dalam Al-Quran itu termaktub tidak akan berubah.
“Apa yang berlaku ialah apabila ada dua undang-undang terhadap satu kesalahan yang sama. Maka pemohon memfailkan petisyen bagi menyemak semula 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen jenayah syariah.
“Kita mohon supaya ahli politik, Adun-Adun itu cakna. Boleh untuk digubal di peringkat negeri. Tapi pastikan ia tidak bertembung dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Untuk memahami ringkas isu ini, Nik Elin sama sekali tidak mencabar undang-undang syariah.
Tetapi ianya adalah kes yang mencabar keabsahan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah I Kelantan yang digubal pada 2019.
Ianya adalah kerana 18 peruntukan tersebut bertindih dengan undang-undang Kanun Keseksaan di peringkat Persekutuan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini telah menafikan tanggapan pihak bahawa Mahkamah Syariah akan terkubur berikutan petisyen dikemukakan dua beranak itu yang mencabar peruntukan undang-undang dalam enakmen tersebut.
Berikut adalah kronologi kes Iki Putra dan Nik Elin:
21 Ogos 2019 – Iki Putra didakwa kes liwat di Mahkamah Syariah di Selangor.
29 Februari 2020 – Mahiaddin dilantik PM8, Takiyuddin Menteri Undang-Undang.
2 April 2020 – Hadi dilantik Duta Khas.
25 Februari 2021 – Mahkamah Persekutuan benarkan cabaran undang-undang oleh Iki Putra. Pas tidak bertindak.
19 Mac 2021 – 200 peguam tandatangan petisyen desak pindaan Perlembagaan.
7 Julai 2021 – Ismail Sabri dilantik sebagai PM9
25 Mei 2022 – Nik Elin failkan notis usul cabar perkara dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
30 September 2022 – Mahkamah Persekutuan benarkan cabaran undang-undang oleh Nik Elin. Pas masih tidak bertindak.
13 Oktober 2022 – Nik Elin failkan petisyen.
19 November 2022 – Pilihan Raya Umum ke-15.
24 November 2022 – Anwar dilantik sebagai PM10.
19 Januari 2023 – Tiga Majlis Agama Islam (Wilayah, Kedah, Selangor) terima kebenaran jadi Sahabat Mahkamah (amicus curiae).
24 Oktober 2023 – Hadi beri kata dua di Parlimen, “𝗞𝗮𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗛 𝘁𝗮𝗸 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗶𝗻𝗱𝗮𝗸, 𝗸𝗮𝗺𝗶 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗶n𝗱𝗮𝗸”.