Dalam ketakutan, Wan Saiful memohon keampunan
Datuk Wan Saiful Wan Jan yang takut terhadap tindakan penggantungan selama enam bulan daripada menghadiri Dewan Rakyat telah memohon keampunan.
Beliau telah meminta maaf kerana telah menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang korup.
“Pada 28 Februari saya memang ada menyebut satu perenggan yang berbunyi “korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa” dan selepas itu ada sedikit gangguan dan kemudian saya sambung, “Ampun tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan mengadap tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet.”
“Ayat itu memang saya tujukan kepada Yang Berhormat Tambun (Anwar). Saya ulang sekali lagi dalam Dewan pada 29 haribulan apabila ditimbulkan oleh rakan saya Jelutong (RSN Rayer-PH).
“Saya menarik balik ayat tersebut, kenyataan saya. Saya juga memohon maaf atas kenyataan tersebut.
“Saya dengan rendah diri juga, sebab dalam usul ada disebut Yang Dipertuan Agong, atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Saya juga memohon maaf dan tarik balik kenyataan tersebut.”
Wan Saiful berkata demikian sebelum usul menghadapkannya ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai permohonan meminta maaf kepada Anwar dan menarik balik kenyataan tersebut
“Yang berhormat juga memohon keampunan duli yang maha mulia kerana telah menyebut nama baginda. Menteri, saya harap ini boleh diselesaikan.”
Ekoran itu, usul penggantungan Wan Saiful selama enam bulan telah ditarik balik