Entah berlabuh di mana, kapal pertama bantuan kemanusiaan sedang menuju ke Gaza

Entah akan berlabuh di mana, kapal pertama membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza memulakan perjalanan minggu ini.

Lapor Agensi, misi bantuan menerusi laut itu diharap dapat berlabuh berhampiran kawasan pantai.

Kapal Sepanyol, Open Arms dijadual berlepas dari Cyprus, negara Eropah paling dekat dengan Gaza, menggunakan laluan maritim yang baharu dibuka.

Dengan ketiadaan pelabuhan dan perairan yang cetek, masih belum jelas di mana kapal berkenaan akan berlabuh sebaik ia tiba di Gaza.

Open Arms, milik badan kebajikan Sepanyol, dijadual tiba di Gaza dalam beberapa hari lagi.

Ia berlabuh di Larnaca tiga minggu lalu untuk mengisi bekalan keperluan dari badan kebajikan Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen.

Perjalanan Open Arms sejauh 216 batu nautika disifatkan sebagai operasi paling sukar.

Pasukan World Central Kitchen dilapor sudah membina jeti kecil untuk menerima bantuan itu, dengan membuka 60 dapur bantuan di seluruh Gaza.

Ia akan menjadi penghantaran pertama sepanjang laluan maritim dari Cyprus, iaitu negara Kesatuan Eropah (EU) terdekat dengan Gaza, yang diharapkan dibuka oleh Suruhanjaya EU hari ini.

Jurucakap Open Arms, Laura Lanuza, memberitahu AFP, bahawa pihak berkuasa Israel sedang memeriksa kargo seberat 200 tan membawa bahan makanan asas, beras, tepung, dan tuna dalam tin.

Lanuza berkata, badan amal AS, World Central Kitchen, yang bekerjasama dengan Open Arms, mempunyai pasukan di Gaza yang sedang membina jeti sementara untuk membawa keluar muatan.

Jurucakap Tentera Israel, Laksamana Madya Daniel Hagari, berkata Israel berkoordinasi dengan AS dalam projek jeti untuk penghantaran bantuan setelah lulus pemeriksaan penuh, kepada penduduk Gaza melalui pertubuhan antarabangsa.

Pembukaan koridor maritim itu diumumkan pada Sabtu oleh Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyusuli pengumuman Presiden AS, Joe Biden, untuk membina pelabuhan sementara di Gaza bagi membolehkan kemasukan bantuan menerusi jalan laut.

Pada masa sama, kapal tentera AS (USAV), General Frank S Besson (LSV-1) juga sudah meninggalkan Pangkalan Bersama Langley-Eustis dalam perjalanan ke Timur Mediterranean untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan awal pagi semalam.

Besson, sebuah kapal sokongan logistik, memulakan perjalanan kurang 36 jam selepas Biden mengumumkan AS akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menggunakan laluan laut.

Ia juga membawa peralatan untuk menyediakan jeti sementara bagi membolehkan penghantaran bekalan kemanusiaan ke pantai.

BACA JUGA Hentikan genosid di Palestin, selamatkan nyawa mereka yang tidak berdosa

Â