Bekas menteri promosi kurma ‘berinti’ mentega

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempromosi kurma berisikan mentega sempena Ramadan ini.

Menerusi laman X, beliau yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan untuk orang ramai mencuba paduan makanan sunnah itu bersama mentega untuk berbuka puasa.

“Bagi yang belum cuba, boleh buat untuk berbuka puasa.

“Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata:

دخل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم «فقدمنا زبدا وتمرا وكان يحب الزبد والتمر»
“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

“Ini kurma Ajwa yang diletak mentega. @maktabahab ada jual kurma Ajwa ni dengan pakej istimewa di http://kurmanabi.com

“Jom membeli sambil menderma,” tulisnya di platform X sambil mengingatkan bahan yang ditambah bersama kurma itu ialah mentega bukannya marjerin.

Walau bagaimanapun, ada warga maya mengingatkan kombinasi kurma dan mentega itu tidak baik untuk kesihatan.

“Mentega yang sedemikian kuantiti, kolesterol pun akan naik jugak tuan haji. Tak bagus tau.

“Yang ada sakit buah pinggang, elakkan makan.

“Dah jadi promoter produk ye sekarang,” demikian antara komentar warganet.

Terdapat juga yang meminta penjelasan Dr Zulkifli mengenai jenis mentega yang disediakan mengikut Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah itu.

“Soalan jujur, saya lebih suka nak tau mentega apa yang diberikan kepada Rasullullah SAW ketika itu?” tanya pengguna X, @army4769 pula.

Esok kira-kira 20 juta umat Islam di negara ini atau 61.3 peratus rakyat Malaysia akan mula menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan.

BACA JUGA Geng ultra tak nampak realiti populasi Muslim negara ini