Harga beras putih import diturunkan RM2-3 mulai esok
Harga beras putih import (BPI) diturunkan di antara RM2 hingga RM3 berkuatkuasa mulai esok, umum Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu susulan keputusan pelarasan yang dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini.
“Kerajaan melalui Mesyuarat NACCOL bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI di antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan berkuat kuasa pada Rabu, 20 Mac 2024,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Bagi meningkatkan pengedaran beras putih tempatan (BPT) di pasaran, kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta,” kata beliau, merujuk kepada beras putih tempatan.
Sebanyak 20,000 tan meterik bekalan tambahan BPT akan diedarkan sepenuhnya bulan hadapan.
Dalam pada itu semua kontrak kerajaan juga akan mengguna pakai sepenuhnya BPI.
Langkah-langkah ini diambil untuk meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat menerusi harga jualan BPI yang lebih rendah dan pertambahan stok BPT.
BACA JUGA: PM minta mesyuarat setiap minggu cari penyelesaian isu padi, beras
Â