‘Tak pasti sama ada MP Machang cetak draf dia sendiri’

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil secara berseloroh berkata tidak pasti sama ada Wan Ahmad Fayhsal (WAF) Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mencetak sendiri draf perjanjian mengenai peruntukan kawasan.

Beliau dalam masa sama menasihatkan supaya Ketua Pemuda Bersatu berkenaan supaya lebih baik berdiam diri.

Sebelum ini, WAF mendakwa Perdana Menteri sudah menyerahkan draf perjanjian kepada ketua pembangkang.

Penyerahan draf itu, ujarnya berlaku ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, minggu lalu.

Wan Ahmad Fayhsal

“Saya tak pasti sama ada Ahli Parlimen Machang cetak draf dia sendiri sebab sebelum ini dia pernah kata untuk selesaikan masalah ekonomi kita kena cetak wang.

“Saya fikir jika MP Machang tidak tahu apa-apa, dia sebaiknya diam saja,” kata Fahmi pada sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya, semakan beliau dengan Pejabat Perdana Menteri dan ketua setiausaha politik juga mendapati tidak ada sebarang draf diberikan.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Perdana Menteri, melalui wakilnya telah menyerahkan dokumen perjanjian kepada Hamzah.

Katanya tidak semua perkara perlu dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada setiap orang di sekelilingnya.

“Bukan semua benda PMX nak cerita dengan kamu macam dia buat ‘deal’ dengan Bagan Datok dulu.

“Memanglah Timbalan Perdana Menteri dan kamu tak tahu. Bukan ‘fake news’,” kata WAF dalam satu hantaran di platform X, di sini, hari ini.

Hantaran itu sebagai reaksi kepada kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang mendakwa tiada apa-apa perjanjian atau perbincangan mendalam mengenai perjanjian dengan pembangkang.

BACA JUGA “Sanusi, hang memang berdosa pasal 9 bulan gaji tertunggak”