Keputusan tidak benarkan pengeluaran KWSP disokong MEF

Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan pengeluaran lanjut daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disokong Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Menurut Presidennya, Syed Hussain Syed Husman, keputusan itu tersebut adalah sesuatu yang baik bagi memastikan kemampanan simpanan KWSP yang melindungi pekerja sebaik saja pencarum bersara.

“MEF bimbang pengeluaran melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101.1 bilion mendedahkan ahli KWSP terhadap risiko miskin di hari tua.

“Dengan skim pengeluaran khas ini, ketika ini, kira-kira 48% ahli KWSP berumur 55 tahun ke bawah mempunyai simpanan sangat rendah. Untuk menambah pengeluaran dibuat sepanjang tempoh Covid-19, ahli perlu bekerja selama empat hingga enam tahun (selepas mereka bersara),” katanya.

Tegas Syed Hussain, rakyat perlu sedar pengeluaran KWSP yang terlalu kerap akan menyebabkan kerugian kepada masa hadapan pekerja itu sendiri.

“MEF gembira kerana kerajaan perpaduan sedang meneliti semuanya, selain memahami perkara baik dan praktikal untuk dilaksanakan demi kelestarian hidup selepas bersara,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia akan menjadi “negara menua” menjelang 2030. Hal itu, katanya perlu diketahui oleh para pekerja dan juga pembuat dasar.

“(Oleh itu) kerajaan mesti menggunakan wang cukai kami dan sumbangan sosial lain untuk menyediakan penjagaan perubatan serta rumah penjagaan lebih baik untuk warga emas. KWSP tidak boleh menjamin faedah begitu kepada rakyat kerana kosnya semakin tinggi,” kata beliau lagi.

Pada Januari lalu, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein mendedahkan seramai 5.1 juta atau 76 peratus pencarum bumiputera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun dikenal pasti mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022.

Tahap simpanan penengah (median) untuk bumiputera pula telah jatuh daripada RM6,600 pada hujung tahun 2021 kepada RM4,700 pada hujung tahun 2022.

BACA JUGA Bantuan zakat untuk pendidikan, kebajikan di N Sembilan cecah RM8.5 juta