Fitnah terhadap DAP, laporan polis akan dibuat
Setiausaha publisiti kebangsaan DAP Teo Nie Ching menafikan fitnah yang menuduh partinya sebagai parti yang mencipta anjing daripada orang Melayu untuk menghancurkan Melayu dan Islam.
“DAP memandang serius tuduhan jahat ini yang ternyata palsu dan petikan itu tidak langsung disebut di mana-mana platform rasmi parti. Ia sebenarnya merupakan grafik yang direkayasa untuk menimbulkan fitnah dan mencetuskan perbalahan semata-mata.
“DAP menafikan fitnah ini dan menegaskan pembohongan dan fitnah yang dicipta untuk memburuk-burukkan DAP tidak menjejaskan gelombang penyertaan ahli Melayu ke dalam parti, malahan menyebabkan lebih ramai yang menyertai parti kerana benci akan pembohongan seperti ini. Parti ini sudah bertahun-tahun memperjelaskan fitnah-fitnah sebegini kepada khalayak umum, maka usaha dangkal sebegini adalah kerja sia-sia golongan yang terdesak dan ketandusan idea.
“Oleh yang demikian, DAP akan membuat suatu laporan polis berkenaan hal ini pada hari Jumaat 5 April 2024 supaya tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah terbabit,” kata Teo dalam satu kenyataan.
Fitnah yang dimaksudkan adalah berdasarkan tangkap layar yang tular.
Tangkap layar tersebut memaparkan tulisan Mandarin dengan terjemahan Google Translate mendakwa:
“Kita tidak perlukan anjing untuk menyerang orang Melayu. Kita hanya perlu mencipta anjing daripada orang Melayu (PH+Umno) untuk menghancurkan Melayu dan Islam!”
“Anjing kita Melayu (PH+Umno), mereka fikir kita (DAP) adalah Tuhan Mereka… Dewa lama mereka sudah mati!”