Sidang tertangguh, Sany-Awang bertengkar

Sesi sidang Dewan Rakyat tertangguh beberapa minit selepas Sany Hamzan (Hulu Langat-PH) dan Awang Solahuddin Hashim (Pendang-PN) saling bertengkar.

Ketika sesi perbahasan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) mengenai sekolah-sekolah dhaif dalam negara, Sany tampil mencelah mengutarakan isu kekurangan sekolah sehingga menyebabkan kepadatan murid-murid di dalam kelas.

Selepas itu, ia dicelah Awang yang berdiri dan ‘memuji’ Hulu Langat sebagai tertib tidak seperti kebiasaannya.

Hulu Langat kemudian membalas dengan menyindir dengan mengaitkan amalan rasuah oleh Perikatan Nasional ketika pilihan raya umum ke-15.

“Saya nak bagi pujian ni, Saya tengok Hulu Langat punya tertib. Begitulah rasional,” kata Pendang.

“Cemburu ke? Haa… sebab itu saya nak minta Pendang pun kena beradablah, kena berakhlak.

“Saya nak sebutkan, dalam pilihan raya bila kita nak dapatkan undi pilihan raya, kena bagi fakta. Fakta lawan fakta. Bukan fakta lawan rasuah.

“Beri pengundi kita duit, rasuah. Haa ini yg menyebabkan belah sana tu nak kena tengok balik sikap, adab, integriti. Sebagai wakil rakyat nak kena jaga juga,” balas Sany.

Sany dan Awang pernah bertikam lidah sebelum ini.

Pertikaman lidah kemudian berterusan sehingga Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alica Lau terpaksa berkali-kali meminta Ahli-Ahli Parlimen kembali duduk.

Terdahulu, ketika mencelah perbahasan Ledang, Sany meminta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat permasalahan mengenai ketidakcukupan sekolah di kawasannya.

Dakwanya, dalam satu-satu kelas, murid terpaksa diletakkan sekitar 40 hingga 45 orang murid.

Kepadatan murid yang tinggi di kelas-kelas ini katanya menyukarkan proses pembelajaran murid.

BACA JUGA: Hutang negara mencecah RM1.5 trilion

Â