PMQT panaskan semua pihak lebih-lebih lagi pembangkang

Sessi Soalan untuk Perdana Menteri (PMQT) semalam telah berjalan selama setengah jam. Walaupun setengah jam diperuntukkan, semua pihak merasakan kepanasannya.

Wartawan sibuk mencatat dan melaporkan butir yang dicakap oleh PM Anwar, para Ahli Dewan Rakyat juga tidak puas dengan masa yang diperuntukkan. Banyak lagi perkara yang mahu mereka tanyakan kepada PM Anwar.

Pihak yang paling panas adalah pemimpin Perikatan Nasional (PN). Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dua pemimpin kanan PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang juga panas dan tidak boleh duduk dalam dewan walaupun masanya hanya setengah jam sahaja.

Sessi soal jawab dengan PM semalam memanaskan PN.

Dalam sessi PMQT semalam, PM Anwar membuat beberapa penegasan yang sudah tentu menjadikan Dewan Rakyat panas.

Beliau berkata, mulai sekarang pihak penguatkuasa undang-undang khasnya SPRM akan memberikan tumpuan kepada kes-kes penyelewengan besar yang melibatkan wang negara dan rakyat.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, siasatan SPRM tidak lagi sekadar tertumpu kepada kes kecil atau membabitkan golongan ‘ikan bilis’ semata-mata.

Katanya, sasaran utama SPRM kini adalah melaksanakan siasatan dan pencegahan berkesan serta pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

“Tumpuan SPRM sekarang adalah rasuah berskala besar. Kalau dulu, terlalu banyak masa dan tenaga untuk menumpukan perhatian menangkap ikan bilis dan ini tidak akan banyak membantu kerana rasuah adalah satu hal yang sistematik,” katanya pada Waktu PMQT di Dewan Rakyat pagi semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui SPRM untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak besar dan kesan nyata bagi mencapai agenda yang digariskan sekali gus memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Dalam sessi itu, PM Anwar juga memberikan penegasan, rakyat akan mendapat berita baik tidak lama lagi berkaitan perkara ini.

“Saya percaya jika tuan-tuan bersabar, mungkin dalam masa terdekat kita akan dapat berita baik,” kata PM Anwar dalam sessi itu yang dipercayai ditujukan kepada siasatan SPRM terhadap akaun parti politik yang berbelanja mewah dalam PRU 15 lalu.

Anwar menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin yang bertanya, apakah kesan dari tindakan PM memegang dua jawatan iaitu termasuk Menteri Kewangan.

PM Anwar menjawab, memegang dua jawatan tidak ada masalah jika ia tidak digunakan untuk merompak wang negara.

“Gabung tak salah, tetapi gunakan jawatan itu untuk rompak yang salah,” kata PM Anwar.

Anwar juga bertekad, untuk menggunakan segala usaha untuk mengelak dan menghalang khianat dan rasuah dari berleluasa.

PN mengadakan sidang media di perkarangan Dewan Rakyat semalam dan merasai kepanasannya.

Selepas sidang semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan rakan-rakannya membuat dakwaan kerajaan sedang mengekang pembangkang.

Apakah benar PN terasa tekanan itu ekoran tindakan terhadap pemain media sosial yang terlebih-lebih atau siasatan demi siasatan yang dibuat oleh SPRM terhadap penyelewengan besar-besaran wang negara sekarang.

Anwar memberitahu, skandal kewangan negara memang berlaku semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang didakwa oleh Ahli Parlimen Putrajaya itu.

“Ada kebenaran masa BN berlaku ketirisan. Tetapi semasa PN juga berlaku kerosakan besar yang banyak juga.

“Dana Wibawa, Penebatan Banjir sedang dalam siasatan. Ia urusan SPRM. Tindakan undang-undang pula terletak pada Peguam negara,” kata beliau merujuk kepada dua skandal besar yang sedang disiasat oleh SPRM sekarang.

Sememangnya PMQT panas dan yang terlebih panas adalah pemimpin PN sehingga tidak sanggup duduk sebentar dalam Dewan Rakyat bagi mendengarnya.

 

BACA JUGA Bersabar, kita akan dapat berita baik untuk rakyat mengenai siasatan skandal

JUGA Pentadbiran Perikatan Nasional juga terlibat dalam ketirisan