Ramai tak tahu PM dah tebus tanah ‘airport’ Sungai Besi, jadikan rizab orang Melayu

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan terdapat usaha dilakukan Perdana Menteri untuk menebus kembali tanah bekas Lapangan Terbang Sungai Besi, untuk dijadikan kawasan rizab orang Melayu.

Lapangan terbang yang dahulunya dijadikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu ditutup pada 2018.

Tanah itu sebelum ini diwartakan sebagai kawasan pembangunan.

Namun kata Mohamad, ramai tidak tahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa isu tersebut ke Kabinet supaya 50 ekar tanah bekas ‘airport’ itu diwartakan sebagai tanah rizab orang Melayu.

“Mereka cakap soal tak bela Melayu dan sebagainya. Itu biasalah tuduhan. Lapangan Terbang Sungai Besi dahulunya ditukar menjadi kawasan pembangunan.

“Bila kita ambil alih, kerajaan ambil semula tempat itu dan dirancang dengan teliti. 

“Yang paling penting banyak orang tidak tahu, Perdana Menteri bawa dalam mesyuarat Kabinet, iaitu di tanah bekas ‘airport’ sungai besi itu, 50 ekar diperuntukkan sebagai tanah rizab Melayu.

“Hei 50 ekar bukan di Jeli, bukan di Gua Musang, 50 ekar ini di Sungai Besi,” katanya dalam satu klip video tular ketika menghadiri ceramah Mega di Kuala Kubu Baharu minggu lalu.

Menurut Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak bela Melayu terbukti hanyalah tuduhan semata-mata.

Ujarnya, DAP sendiri tidak pernah membantah keputusan Perdana Menteri untuk mewartakan tanah lapangan terbang tersebut sebagai rizab Melayu.

“Ini kerajaan Perpaduan yang ada DAP dalam Kabinet ni. Dia tak bantah. Saya tak dengar pun komen bantah, atau dia bisik dekat saya (kata tidak setuju).

“Tak dak. Anthony Loke pun tak kata apa. Mereka bersetuju. Iaitu tanah yang kita panggil Prime Land 50 ekar diperuntukkan sebagai tanah rizab Melayu,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Misi tarik pelabur Qatar bermula, PM dijangka bertemu 30 pemimpin negara

Â