Mujahid optimis AMANAH bakal jadi parti arus perdana 5 tahun lagi

Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa optimis parti itu akan menjadi parti arus perdana dalam tempoh lima tahun akan datang.

”Jikalau semuanya berjalan lancar dan perancangan juga mencapai objektif, saya yakin lima tahun akan datang AMANAH akan menjadi parti arus perdana.

”AMANAH bukan lagi dilabel sekadar parti serpihan sebaliknya parti yang diterima massa, sekali gus menjadi alternatif berkesan kepada politik baharu dan politik nilai yang kita bina sejak awal AMANAH diasaskan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, di Shah Alam, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap AMANAH untuk tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas lanjut Dr Mujahid berkata, dengan kekuatan rakan-rakan politik yang lain, parti itu juga akan dilihat sebagai membentuk politik nilai Malaysia ke hadapan.

Dalam tempoh jangka panjang, beliau turut berpendapat bahawa akan terdapat lebih ramai daripada AMANAH, memegang jawatan di peringkat negeri seperti Menteri Besar, Ketua Menteri dan juga EXCO.

”Selain itu, saya juga berpandangan, akan ada lebih ramai menteri-menteri (AMANAH) yang diberi amanah dengan kemenangan kita yang besar, sekali gus mendukung nilai yang dibawa oleh parti.

”Bukanlah semata-mata ramai yang menjadi menteri (daripada AMANAH), tapi apa yang parti perjuangkan, dapat dirasai dan dapat diterjemahkan ke dalam dasar-dasar negara,” ujar beliau yang juga merupakan bekas Menteri Agama.

Untuk rekod, parti yang berpegang kepada nilai Rahmatan Lil ‘Alamin itu telah ditubuhkan pada 16 September 2015 dan diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Kali pertama parti itu menganggotai pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah pada 2018 selepas mereka memenangi 11 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

AMANAH pada masa itu dilihat beruntung apabila lima Ahli Parlimen parti tersebut dilantik sebagai Menteri dan lima termasuk seorang Senator pula dilantik menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri.

Selain Mujahid sebagai Menteri Agama, empat pemimpin AMANAH yang dilantik sebagai menteri ialah Mohamad Sabu ( Menteri Pertahanan); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan); Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Khalid Samad (Menteri Wilayah Persekutuan).

Bagi jawatan timbalan menteri pula ketika itu ialah Mohd Anuar Tahir sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya; Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); Datuk Mahfuz Omar (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Timbalan Menteri Pembangunan dan Usahawan) dan Mohamed Hanipa Maidin (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang).

BACA JUGA Sultan Perak perkenan beri penghormatan belia baca khutbah Jumaat

Â