Rupa-rupanya ini sebab seorang anggota Malbatt meninggal dunia di Lubnan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia di Lubnan, berpunca daripada serangan jantung.
Markas ATM menerusi kenyataan memaklumkan, perkembangan itu adalah hasil bedah siasat yang telah dijalankan Hospital Hammoud, Saida, Lubnan, Ahad lalu.
”Keputusan awal bedah siasat sudah diperolehi Isnin lalu. Hasil bedah mengesahkan Allahyarhamah meninggal dunia akibat serangan jantung.
Dalam kenyataan sama, MK ATM berkata, jenazah Faridah akan dibawa pulang petang ini menaiki pesawat komersial.
“Pihak MALBATT 850-11 dengan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Beirut telah menyelesaikan segala urusan berkaitan proses dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan serta UNIFIL bagi membawa pulang jenazah ke tanah air sekitar jam 5.05 petang waktu Malaysia.
“Ia dijadualkan tiba ke tanah air esok pada pukul 9.50 malam waktu Malaysia dan solat jenazah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang sebagai penghormatan terakhir sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, juga dimaklumkan bahawa jenazah akan dibawa menggunakan pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada keesokkan harinya (Sabtu) sekitar jam 7 pagi.
“Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Anwar, Kg Tengah, Mukim Tualang, Pokok Sena, Kedah,” jelas kenyataan itu.
Pada 19 Mei lalu, Allahyarhamah yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, dilapor meninggal dunia.
Markas ATM berkata, Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila rebah ketika turun daripada bas di Kem Marakah, sekitar jam 2.25 pagi (waktu Lubnan).
BACA JUGA http://Pemilik resort dikompaun RM25,000 selepas tular pesta dosa ‘Aloha’