Demi redakan keadaan, Ustaz Don Daniyal direhatkan
Penceramah kontroversi, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) demi “meredakan keadaan”, kata Datuk Suhaimi Sulaiman.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM itu berkata demikian menerusi ciapan di laman sosial X, hari ini ekoran isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
“Untuk meredakan keadaan, I have asked the team to (saya meminta untuk) rehatkan dulu Ustaz Don dari Salam Baitullah.
“Don’t ask me about what I think or feel (Jangan tanya apa yang saya fikir dan rasa). Numbed (terkelu),” tulis Suhaimi.
Sebelum ini, tular kritikan orang ramai terhadap dakwaan Don Daniyal kononnya Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.
Don bagaimanapun bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan walaupun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda.
Untuk rekod, Don Daniyal dalam Salam Baitullah RTM adalah sebagai perantara dan bukan penganalisis atau penceramah.
Terdahulu, Suhaimi berkata, penceramah itu sudah dinasihatkan untuk tidak mengundang kontroversi dalam rancangan yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun.
Jelasnya, pimpinan tertinggi pengarang juga ada di lokasi bagi menentukan semua perantara mengikut skrip.
Rata-rata menyambut baik keputusan untuk ‘merehatkan’ Ustaz Don Daniyal daripada bersiaran di TV.
“Keputusan yang bijak. Ramai lagi asatizah lain boleh dipertimbangkan.
“Ustaz Don terlalu banyak kali buat “cerita” gunakan nas dan sanad yang lemah dan dhoif.
“Dalam kes ini, cerita “first love” Nabi Muhammad SAW pula, Mufti Wilayah pun tegur kerana sanadnya terlalu lemah dan tak diketahui sumber asalnya,” tulis pengguna X, @x_abe81.
BACA JUGA Selamba curi kereta di stesen minyak, akhirnya ini nasib lelaki itu
Â