Moderator ‘Tanyalah Ustaz’ rupanya anak Cikgu Joo

Bagi penonton rancangan TV9, ‘Tanyalah Ustaz’, penampilan moderator, Da’i Luqmanul Haqim tentunya menarik perhatian.

Rupanya, pendakwah muda itu adalah anak kepada Dr Joohari Ariffin iaitu Calon Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Dr Joohari yang mesra dipanggil Cikgu Joo merupakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara.

“Dr Joohari Ariffin ni kalau hampa (kalian) tanya orang Sungai Bakap kenal sangatlah depa.

“Dia punya jiwa guru tu sampai kisah dia bagi anak murid pinjam baju kemeja dan seluar slack nak pergi temuduga sampai masuk berita Anugerah Guru Inspirasi.

“Power Cikgu Joo!” tulis pengguna X, Fakta Bukan Auta.

Malam tadi, Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli mengumumkan bahawa Cikgu Joo sebagai Calon Perpaduan pada PRK Sungai Bakap.

Cikgu Joo dalam reaksinya kepada pemberita berkata, beliau beriltizam menjadi seorang yang baik tanpa merendahkan pihak lain sepanjang berkempen kelak.

Dalam masa sama, Joohari memberitahu bahawa beliau adalah anak jati Sungai Bakap yang merantau menimba ilmu sebelum pulang menetap di Taman Ilmu.

“Walaupun saya dilahirkan di Permatang Pasir di Permatang Pauh tetapi saya membesar di kampung nenek saya di Sungai Bakap dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

“Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Penang Free School sebelum ke Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak.

“Selepas itu, menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) sebelum mengambil Diploma Pendidikan (DPLI) yang di situ bermula karier saya sebagai seorang guru yang saya merantau yang kini saya bersedia menjadi wakil rakyat jika dipilih,” katanya yang turut mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

BACA JUGA Penyasaran subsidi diesel: Ini sebab mengapa Hasbie yakin kerajaan di landasan betul

Â