“Kalau nak cari buruk, cari lah…”, Dr Hafidzah sekolahkan warganet
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menepis satu komen negatif daripada seorang warga maya dengan memberi perumpamaan yang ‘mendalam’.
Terdahulu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas pencapaian yang dicapai dalam pelbagai indeks yang telah dikeluarkan.
”Tahniah Malaysia atas pencapaian dalam pelbagai Indeks Kesejahteraan peringkat Dunia; antara Negara yang Paling Aman; Paling Bahagia; Destinasi Pelancongan Muslim Nombor Satu dan antara negara yang paling demokratik.
”Semuanya kerana anda sahabat semua yang membantu negara kita mencapai status ini. Syabas semua,” tulis Dr Hafidzah di Facebooknya.
Kemudian, seorang warga maya meninggalkan komen berhubung Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dan di tempat keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
”Tahniah, Malaysia jatuh ke tempat 34 dalam World Competitive Index. Terburuk dalam sejarah. Buat pertama kali Thailand & Indonesia mengatasi Malaysia!!,” tulis lelaki itu.
Namun, Dr Hafidzah yang juga Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) dengan tenang membalas komen lelaki berkenaan.
”Kalau nak cari yang buruk boleh cari lah. Saya memilih melihat dengan mata lebah berbanding mata lalat.
”Mencari kekuatan di samping memperbaiki kekurangan,” kata beliau di ruangan komen laman sosialnya itu hari ini.
BACA JUGA Keluarga lelaki serang Balai Polis Ulu Tiram dituduh hari ini