Isu BlackRock: Pemuda PH sekolahkan Wan Fayhsal soal konsep minoriti
Pemuda Pakatan Harapan secara sinis berkata mahu menaja Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk belajar tentang Corporate Finance 101.
Ini kerana Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu tidak memahami konsep majoriti-minoriti dalam hal pegangan ekuiti korporat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan berkata, terdapat perbezaan pemilikan terus BlackRock dalam syarikat tersenarai tempatan dan pegangan tidak langsungnya dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas penswastaan selesai.
Hakikatnya kata Ammar, sama ada 5 peratus atau 25 peratus pemilikan saham, ia tetap pegangan minoriti.
“Pemilik ekuiti minoriti tidak ada kuasa menentukan keputusan terakhir mana-mana syarikat.
“Dalam konteks MAHB, kerajaan akan memiliki 70 peratus. Pegangan ekuiti (bakal) oleh GIP adalah jauh lebih rendah. Undi 70 peratus kerajaan akan mengalahkan undi 25 peratus GIP.
“Paling penting, kerajaan akan terus memiliki “golden share” dalam MAHB. Bermakna kerajaan mempunyai kuasa paling utama iaitu veto,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesimpulannya kata Ammar, BlackRock sudah lama memiliki saham minoriti dalam syarikat-syarikat di Bursa Malaysia di mana pegangan tidak langsung menerusi GIP dalam MAHB juga adalah sama.
Malah, Pakatan Harapan menerima baik komitmen GIP yang telah dinyatakan secara terbuka baru-baru ini bahawa BlackRock tidak akan campur tangan dalam pengurusan GIP dan pengurusan semasa GIP akan mengekalkan kuasa penuh terhadap hala tujunya.
“Buat ketika ini, BlackRock masihbelum menyelesaikan pembelian ekuitinya dalam GIP.
“Justeru, keputusan Khazanah Nasionalbekerjasama dengan GIP tidaklah bersandarkan BlackRock,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan akan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP.
Usul itu dikemukakan di Dewan Rakyat dibawah Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.
BACA JUGA Enggan ulas dakwaan tipu ‘resume’, calon PN jawab “ada kuasa Tuhan…”