Mahkamah tolak permohonan, Mohd Azizi gagal hentikan PRK DUN Nenggiri

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri gagal dihentikan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan ADUN kerusi itu, Mohd Azizi Abu Naim.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan.

Ini kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.

Ketika prosiding yang dibuat secara tertutup, Pesuruhjaya Kehakiman berkata mahkamah tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK kerana ia menjalankan tugas perlembagaannya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.

Pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi memfailkan saman pemula yang memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan dan mengisytihar kerusi DUN itu tidak kosong dan masih disandang olehnya.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

BACA JUGA Sedar kerusi DUN Kota Lama ‘panas’, ini jawapan balas tuan punya kerusi 

Â