Jawapan terbaik Menteri Kewangan II kepada Radzi Jidin, inilah profesional
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah menjelaskan panjang lebar mengapa kerajaan tidak melantik konsultan dalam Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) seperti yang dicadang Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
Amir berkata, cadangan mengambil alih MAHB melalui penubuhan konsortium yang diterajui Khazanah dan KWSP adalah lebih baik berbanding melantik konsultan kerana konsultan tidak mempunyai kepentingan untuk memperbaiki syarikat tersebut.
“Kenapa kita pilih cara konsortium, bukan cara lantik konsultan ke dalam MAHB.
“Semua pun faham bila ada partnership yang diwujudkan, tiap-tiap orang yang melabur dalam perkongsian itu akan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki syarikat itu.
“Bila ada konsultan, dia hanya memerhati, dan menyiapkan laporannya. Tapi dia tak ada ‘stake in the game’.
“Kalau orang tu melabur 30 peratus, takkanlah dia kata ‘takpelah kalau tak buat duit, tak buat duitlah’. (Begitulah) Konsultan, dia tak ada kepentingan untuk bersungguh-sungguh jaga,” ujarnya dalam sesi penerangan di Kamar Khas Parlimen semalam.
Mengenai pembabitan Global Infrastructure Partners (GIP) yang menjadi kontroversi kerana dikaitkan dengan firma BlackRock milik Israel, Amir Hamzah berkata, penglibatan GIP hanya sebagai pelabur dan rakan teknikal.
Jelasnya lagi, mereka hanya berperanan untuk memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran mereka dalam meningkatkan tahap kecekapan lapangan terbang.
Kerajaan juga, jelasnya lagi, akan terus memegang saham khas atau ‘golden share’ dalam MAHB.
Situasi itu, kata Amir Hamzah, membawa maksud bahawa hanya kerajaan yang mempunyai kuasa untuk melantik Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB, yang kedua-duanya mesti warganegara Malaysia.
GIP juga menyatakan kesediaan untuk menjadi pemegang saham minoriti MAHB selain bersedia melepaskan pegangan dalam tempoh yang singkat.
Pemilihan GIP daripada beratus syarikat yang dinilai juga berasaskan kriteria ketat termasuk kesediaan menerima warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB.
Justeru itu katanya, dengan tertubuhnya Konsortium ini, pembaharuan kepada lapangan terbang negara dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.
“Keperluan pelaburan MAHB yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion untuk tempoh lima tahun dapat disegerakan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kukuh ahli konsortium,” katanya.
Beliau berkata, MAHB hanya membelanjakan sekitar RM1.4 bilion untuk 39 lapangan terbang dalam tempoh lima tahun lepas berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan Singapura melabur RM12 bilion.
BACA JUGA Penghormatan besar buat negara, pertemuan Anwar dan Sheikh Al-Azhar tuai perhatian