Reaksi sinis kaitkan penyasaran subsidi dengan keputusan Sungai Bakap tidak patut – AMK
Mana-mana wakil dalam kerajaan dinasihat untuk terus menyokong usaha penyasaran subsidi bersasar dan tidak terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang anti terhadap reformasi fiskal.
Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar berkata, usaha yang dibuat kerajaan ketika ini adalah demi kepentingan negara dan rakyat pada masa akan datang.
Justeru menurutnya, beberapa reaksi sinis wakil rakyat kerajaan mengaitkan usaha penyasaran subsidi dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah tidak produktif.
Ia katanya, hanya menambah beban terhadap moral Kerajaan Perpaduan untuk terus melaksanakan reformasi.
“Sudah pasti tiada mana-mana pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berani melakukan penyasaran fiskal sebagai salah satu langkah mereformasi fiskal kerana kompleksiti menguruskan reaksi orang awam.
“Walau bagaimanapun, hanya dengan mereformasi fiskal, pengagihan kekayaan lebih adil dapat dibuat, keyakinan terhadap pelabur ditingkatkan seterusnya menambah peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan meningkatkan permintaan seterusnya memulihkan prestasi ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Haziq juga menasihatkan agar tiada wakil kerajaan menyerang mana-mana pimpinan Kerajaan Perpaduan yang melakukan perkara betul demi kepentingan rakyat kebanyakan, terutama membabitkan isu penyasaran subsidi diesel.
BACA JUGA “Anak saya dah berjalan semula”, kisah adik Rayyan dibantu Steven raih perhatian