Media asing puji langkah kerajaan tarik pelabur
Langkah yang diambil oleh Perdana Menteri untuk menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan teknologi digital meraih pujian Forbes baru-baru ini.
Menerusi artikel pada 10 Julai lalu, penulisnya Benjamin Laker turut memuji Tindakan Malaysia dalam menangani ketidakcukupan dengan memperkenalkan beberapa siri cukai baharu sambil mengoptimumkan kos di tengah-tengah cabaran yang berterusan.
Mengulas artikel di majalah itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, suatu yang agak berbeza apabila melihat fokus ditumpukan kepada persekitaran yang lebih positif dan bukannya badai politik.
Menurut Innes, selain pelaksanaan fiskal yang berhemat dan subsidi, langkah penting kerajaan yang dilihat menyerlah adalah peralihan kepada bidang semikonduktor.
Beliau berkata, Malaysia yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Lembah Silikon Timur sebelum Taiwan dan Korea Selatan mengambil alih penerajuan industri cip, berhasrat untuk mengembalikan semula era kegemilangannya.
“Menubuhkan pasukan petugas semikonduktor baharu menunjukkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan industrinya daripada pemasangan hinggalah kepada pembuatan berteknologi tinggi.
“Dengan ekosistem semikonduktor mantap yang telah sedia ada, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menarik pelaburan yang besar, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan semikonduktor.
“Langkah strategik yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyokong potensi Malaysia untuk menjadi kuasa semikonduktor di rantau ini,” katanya, dipetik Bernama. Da
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata artikel itu membayangkan bahawa agenda reformasi kerajaan telah mula disedari oleh pihak luar.
“Ini akan membantu membina kredibiliti pentadbiran sekarang dalam usaha mereka untuk menarik pelabur dan perniagaan asing untuk melabur di Malaysia.
“Negara kita sememangnya mempunyai apa yang diperlukan mereka untuk melabur dan berkembang maju apabila kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaan untuk meningkatkan produktiviti negara dalam jangka masa sederhana hingga jangka panjang,” katanya.
Dalam masa sama, Afzanizam berpendapat pembaharuan biasanya dikaitkan dengan langkah-langkah yang tidak popular.
Tambahnya, kerajaan yang diterajui Anwar sekarang cukup berani untuk menyahut cabaran sambil pada masa yang sama memastikan agenda reformasi akan dilaksanakan pada kadar yang sewajarnya.
“Saya percaya itulah faktor-faktor yang menarik perhatian Forbes memandangkan potensi besar ekonomi Malaysia,” katanya lagi.
Â