Kontroversi promosi produk menyerupai alat sulit: Apa kata Neelofa?

Selepas heboh kontroversi promosi produk dengan paparan grafik seolah-olah menyerupai alat sulit wanita, Neelofa enggan mengulas lanjut.

Pengasas jenama Nilofa Plus itu berkata, pihaknya telah membuat kenyataan memohon maaf dan penjelasan sudah dimuat naik di akaun Instagram (IG) Nilofa Group (nilofagroup).

“Saya fikir komen dan penjelasan lanjut tidak diperlukan lagi sebab takut jadi panjang cerita.

“Daripada pihak jenama terbabit sudah membuat permohonan maaf. Kita sudah akui apa yang perlu.

“Saya fikir itu sudah ada ‘fullstop’ (noktah atau penamat). Jadi, ‘move on’ (teruskan) pada fasa yang seterusnya.

“Saya fikir lebih baik kita tidak bercakap soal itu,” katanya, dipetik BH.

Dalam masa sama, Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor mengakui kontroversi itu memberi pengajaran buatnya.

Namun, isteri pendakwah Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz itu tidak mahu memanjangkan ulasan berhubung perkara tersebut.

“Iya pengajaran, tetapi, tiada ulasan lain,” katanya.

Sebelum ini, syarikat pembangunan aplikasi gaya hidup Muslim, TheNoor menafikan pembabitan pengasasnya Neelofa dalam penghasilan atau pengedaran gambar iklan berunsur lucah di IG.

Permohonan maaf dibuat selepas IG rasmi nilofagroup memaparkan beberapa foto objek yang seolah-olah menyerupai alat sulit wanita bagi mempromosikan produk mengeratkan hubungan suami isteri itu.

Orang ramai dilihat mengecam perkongsian berbaur lucah itu dan menyifatkan visual tersebut sebagai tidak menjaga sensitiviti masyarakat.

BACA JUGA Hilang selepas hantar kereta sewa, di mana Farah?

Â